KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha menangani masalah kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
Ketua Pengarahnya, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perbincangan telah diadakan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran untuk membuat pengambilan melalui beberapa kaedah yang dicadangkan.
"InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan buat proses pengambilan dan tawaran untuk guru-guru yang berjaya secara berfasa. Masalah kekurangan guru yang sedang kita hadapi ditangani secara berperingkat.
"Isu ini tidak dapat diselesaikan dalam masa terlalu singkat, namun mungkin dalam tempoh satu atau dua tahun lagi keadaan kembali normal," katanya selepas meninjau perjalanan minggu pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, di sini semalam.