KPM perlu tegas elak guru baharu tidak lapor diri - Kesatuan Guru

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Kemeterian Pendidikan perlu tegas terhadap guru yang telah bersetuju untuk menerima mana-mana penempatan ketika temuduga tetapi gagal melaporkan diri.


Ia adalah berikutan seramai 222 daripada 3,227 guru one- off yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu se- hingga 30 September tahun lalu.


Utusan Malaysia melaporkan, bekas Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Sabri Arshad berkata, kebanyakan guru atau pun bakal guru sentiasa memberikan janji manis ketika sesi temuduga.


"Mereka ini ketika ditemuduga sering menjanjikan komitmen yang tinggi tetapi apabila dihantar ke Sarawak atau Sabah, mereka tidak lapor diri.


"Kementerian perlu menyediakan garis panduan serta peraturan baharu yang lebih tegas terutamanya ketika temuduga. Calon-calon perlu dimaklumkan awal mengenai penempatan mereka.


"Ketegasan itu bukan bermaksud paksaan tetapi sekurang-kurangnya proses penempatan ini bukan satu platform cuba-cuba untuk mereka menjadi seorang guru," katanya. 


Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen memaklumkan 3,227 guru one-off itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara Contract of Services (COS)' yang ditempatkan di Sarawak.


Kementerian telah melaksanakan Program Pembangunan Guru Baharu untuk membimbing dan membantu secara profesional dan berstruktur bagi membolehkan guru baharu mengadaptasi persekitaran, budaya dan komuniti sekolah. 


Sementara itu, Presiden KGMBB, Jasni Md Kechik berkata, budaya menakut-nakutkan guru untuk dihantar ke pedalaman Sabah dan Sarawak perlu dihentikan kerana bukan mudah untuk sesetengah orang menyesuaikan diri dalam persekitaran begitu. 


"Saya mencadangkan supaya lebih ramai guru dari Sarawak atau Sabah ditempatkan di kawasan mereka masing-masing manakala bagi guru dari Semenanjung Malaysia ditempatkan di kawasan pekan.


"Hanya dengan cara ini kita dapat memupuk supaya mereka tidak takut dan masalah kekurangan guru dapat diselesaikan di dua negeri itu," katanya.

Previous Post Next Post