KPM perlu lanjutkan PPPM hingga 2030 - Pensyarah

PETALING JAYA: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan berakhir dua tahun lagi perlu diteruskan memandangkan banyak objektif dan pelaksanaannya belum tercapai untuk menjadikan pendidikan negara berkualiti dalam persekitaran global semakin sengit.


Meskipun ada inisiatif berjaya dilaksanakan, namun terdapat banyak rancangan merangkumi pembangunan fizikal pendidikan belum mencapai sasaran sejak ia dilancarkan 10 tahun lalu.


Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad itu berkata, antara program yang masih belum menampakkan hasil adalah masalah sekolah daif, pendigitalan pembelajaran dan beban tugas guru yang tiada kesudahan walaupun PPPM memiliki strategi mendepani masalah berkenaan.


"Kerajaan perlu melanjutkan pelan ini untuk tempoh lima tahun lagi atau dinamakan sebagai PPPM 2.0. Sememangnya ada perancangan masih belum dapat dilaksanakan, mungkin disebabkan oleh masalah kewangan dan pandemik Covid-19 pada awal 2020. 


"Tidak perlu satu dasar baharu, lebih baik memfokuskan pelan sedia ada, lagipun PPPM sudah terbaik, cuma pelaksanaan belum capai sasaran. Jika ada satu dasar lain pula; akhirnya tidak ke mana juga. Jadi kena lanjutkan garis masa PPPM ini bermula 2026 hingga 2030," katanya di sini, semalam. 


PPPM 2013-2025 yang dilancarkan 10 tahun lalu merupakan satu dokumen hala tuju sistem pendidikan dengan mengariskan 11 anjakan transformasi sistem pendidikan. Pelaksanaan itu dilakukan secara berperingkat bermula daripada pendidikan rendah sehingga pendidikan menengah mengikut kohort ditetapkan. 


Justeru Anuar menegaskan, Kementerian Pendidikan perlu bermula daripada sekarang untuk memperhalusi sama ada ingin melanjutkan PPPM itu kerana hanya tinggal baki dua tahun sebelum berakhir pada 2025. 


Katanya, ini kerana pihak kementerian dan kerajaan harus segera bangunkan pelan tindakan komprehensif untuk melaksanakan setiap teras yang diperkenal sebelum ini bagi mencapai sasarannya. 


"Sewajarnya bagi menunjukkan iltizam beliau dalam melakuka perubahan, KPM perlu segera membangunkan pelan tindakan komprehensif untuk melaksanakan setiap teras ini dari segi agenda, tindakan serta sasaran pencapaiannya," katanya.


Dalam rencananya di kolum Minda Ahad Mingguan Malaysia semalam, Anuar mempersoalkan mengenai slogan dan istilah besar seperti 'karamah insaniah', 'anak baik dan cerdik' dan slogan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara negara sejahtera seperti diuar-uarkan,


"Sehingga hari ini, guru tertanya-tanya bagaimana untuk mencapai semua slogan itu? Apa pelan tindakannya," soal beliau dalam kolum tersebut. 


Dalam pada itu, Anuar memuji keterbukaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memberi peluang kepada golongan guru untuk bersuara berkenaan bidang tugas mereka. 


"Sikap terbuka ini disambut baik oleh guru. Ini merupakan sejarah kerana buat kali pertama seorang Menteri Pendidikan secara terbuka meraikan pandangan, teguran dan kritikan guru terhadap kelemahan atau kekurangan sistem pendidikan negara.


"Beliau juga telah dengan segera mewujudkan kembali Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang berfungsi mencadangkan langkah penyelesaian kepada isu beban tugas guru.


"Hasilnya, Fadhlina mengumumkan pemansuhan segera tujuh perkara yang meringankan beban tugas guru iaitu memansuhkan semua bentuk sambutan atau yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid," jelasnya. 


Katanya lagi, Kementerian Pendidikan telah mengurangkan amalan semakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) kepada sekali setahun, memanjangkan tempoh masa pengisian data kehadiran murid melalui sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan membuka pelantikan pengawas peperiksaan kepada bukan guru. 


Selain itu, kerajaan mengehadkan sambutan hari guru hanya di peringkat kebangsaan dan sekolah, meringkaskan amalan penyediaan Rancangan Pengajian Harian (RPH) dan memberikan autonomi kepada guru dalam merancang kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dan Pelaporan Bilik Darjah (PBD).

Previous Post Next Post