KGBS cadang KPM kenakan penalti untuk guru tidak lapor diri

Presiden KGBS Zulkiflee Sebli berkata, KGBS mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas ke atas guru-guru yang tidak melapor diri dan menolak tawaran penempatan ke Sarawak. Foto: Zulkiflee Sebli


KUCHING, 07 Mac: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas ke atas guru-guru yang tidak melapor diri dan menolak tawaran penempatan ke Sarawak.


Menurut Presidennya Zulkiflee Sebli, perilaku mereka ini telah melanggar arahan perintah am dan bertentangan dengan etika seorang guru.


Zulkiflee memberitahu, pihaknya kesal dan terkilan dengan sikap guru-guru baharu tersebut yang menolak penempatan ke Sarawak.


Tegasnya situasi berkenaan seolah-olah para guru tersebut beranggapan Sarawak sebagai negeri berkelas rendah.


“KGBS memohon kepada KPM agar tegas dalam isu ini. Isu ini menggambarkan ada dalam kalangan guru-guru baharu dari luar Sarawak beranggapan Sarawak sebagai negeri yang berkelas rendah. Sekiranya KPM tidak tegas maka tidak mustahil isu yang sama akan terus berulang.”


“Selain daripada itu dicadangkan siswa guru yang sedang dalam latihan perlu menandatangani aku janji sedia berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun di mana lokasi mereka akan ditempatkan. Ini untuk mengelakkan mereka daripada menolak lantikan dan amanah yang diberikan,” katanya ketika dihubungi TVS pada Selasa.


Dalam pada itu, kata Zulkiflee, KGBS juga mencadangkan agar KPM menangguhkan pelantikan selama tiga tahun sebagai penalti kepada mereka kerana ingkar perintah dan arahan. 


Sumber - TVS

Previous Post Next Post