Bantuan persekolahan konsep Menu Rahmah sedang dirangka

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang merangka program bantuan persekolahan baharu yang mempunyai konsep sama seperti Menu Rahmah, dalam usaha membantu golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah.


Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata program bantuan sedemikian dijangka akan direalisasikan pada sesi baharu persekolahan tahun hadapan.


"Dalam tempoh seratus hari ini, kita akan memfokuskan kepada Menu Rahmah terlebih dahulu tetapi kementerian juga sedang merangka satu program khusus bagi bantuan persekolahan.


"Kita akan merangka program ini seperti inisiatif Menu Rahmah dengan kerjasama pihak tertentu yang akan menyediakan pakej bantuan, yang bertujuan membantu mereka yang memerlukan," katanya selepas melancarkan program Menu Rahmah McDonald's, di sini hari ini.


BH semalam melaporkan ibu-bapa mula merungut dengan kelengkapan persekolahan anak mereka yang dikesan naik mendadak antara 20 hingga 30 peratus.


Peningkatan mendadak itu memberi gambaran seolah-olah peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan keuntungan berganda, sekali gus memberi kesan kepada ibu-bapa khususnya mereka yang mempunyai anak ramai.


Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pada pembukaan sesi persekolahan tahun ini, kementerian masih menganjurkan program 'Kembali ke Sekolah' atau 'Back To School', yang akan turut dijayakan di kawasan-kawasan Parlimen seluruh negara.


"Malah pada esok, saya akan bersama sebuah gedung membeli-belah di ibu negara untuk melaksanakan program membabitkan bantuan persekolahan," katanya.

Previous Post Next Post