Topik pilihan raya dalam PdP tidak pengaruhi pilihan parti murid - KPM

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) topik pilihan raya di sekolah tidak mempengaruhi murid-murid terhadap pemilihan satu parti politik sahaja.


Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata, KPM percaya dengan tahap integriti para guru dalam menyampaikan kefahaman mengenai topik berkenaan.


"Dari segi guru sama ada akan mempengaruhi (murid), jawapan kami tidak.


"Kami ada keyakinan kepada para guru dalam PdP Sejarah, dan tugas guru mengajar apa sahaja topik secara objektif termasuk pilihan raya.


"Guru telah didik dengan integriti dan tidak mungkin mempengaruhi murid dari segi kefahaman politik," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang bertanya langkah kerajaan bagi memastikan pengajaran topik pilihan raya tidak menjadi medan bagi seseorang guru mempengaruhi minda pelajar dengan sentimen tertentu supaya cenderung memilih satu parti sahaja.


Menjawab lanjut, Hui Ying mengakui KPM juga bimbang sekiranya guru-guru tidak memainkan peranan masing-masing.


Begitu pun, jelas beliau, kementerian telah membekalkan bahan-bahan PdP kepada pihak sekolah termasuk dalam bentuk video.


Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pelajar sekolah menengah akan didedahkan berkaitan amalan demokrasi, termasuk amali kewajipan mengundi melalui sukatan subjek Sejarah.

Previous Post Next Post