NGO Lawyers for Liberty (LFL) mengecam apa yang disifatkannya sebagai tindakan "terlalu keras" oleh polis yang menahan dua pelajar Tingkatan Lima, yang mengeluarkan kata-kata kesat mengenai kertas Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam satu video tular baru-baru ini.
Pengarah LFL Zaid Malek berkata tindakan polis menyerbu rumah pelajar tersebut disusuli dengan penahanan dan ujian saringan dadah boleh memberikan "trauma melampau" kepada mereka dan keluarga.
"Ini semua kerana satu video di mana mereka meluahkan kekecewaan terhadap kertas Sejarah SPM.
"Walaupun ada kata-kata tidak menyenangkan yang dikeluarkan, ia tidak mewajarkan campur tangan pihak polis. Ia sepatutnya menjadi urusan pihak sekolah dan ibu bapa mereka.
"Mereka hanyalah remaja yang bersikap kebudak-budakan dan mereka sudah meminta maaf atas video itu, namun mereka dilayan seperti penjenayah berat," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, video berdurasi 36 saat memaparkan salah seorang remaja berkenaan berseragam sekolah menunjukkan jari tengah dan memaki penggubal soalan Sejarah SPM, tular di media sosial.
Dia juga dirakam mengeluarkan kata-kata menghina kepada sebuah negara jiran.
Semalam, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah mengesahkan penahanan mereka dan berkata tindakan dibuat susulan laporan oleh seorang guru di sekolah mereka.
Katanya, kedua-dua pelajar itu direman sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengulas lanjut, Zaid berkata pengekalan seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) menjadi penghalang kepada kebebasan bersuara dan bertentangan dengan janji reformasi oleh kerajaan PH.
“Kritikan terhadap kerajaan tidak seharusnya dijadikan jenayah, apatah lagi luahan kemarahan kebudak-budakan oleh remaja.
"Adakah setiap remaja akan ditahan dan didakwa hanya kerana membuat kecaman secara dalam talian?
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan berlebihan dan sewenang-wenangnya oleh polis berkenaan penahanan remaja terbabit.
Kami menggesa semua tindakan polis dihentikan dan perkara ini diserahkan kepada pihak sekolah," tegasnya.