Tiada keperluan iktiraf UEC - Fadhlina

Foto Bernama


Kuala Lumpur: Kerajaan Perpaduan tidak melihat usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dibangkitkan beberapa pihak, sebagai keutamaan ketika ini. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pendirian itu berikutan Kementerian Pendidikan (KPM) masih berpegang teguh pada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996. 

"Sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), dan KPM tidak melihat isu berbangkit tentang perkara itu sebagai keutamaan. 

"Pendirian ini berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang sentiasa menjadi pegangan KPM," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang bertanya apakah pendirian kementerian itu terhadap pengiktirafan UEC dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC. 

Berhubung peruntukan kepada SMPC, Fadhlina menjelaskan setakat ini, KPM tidak memiliki sebarang obligasi untuk menyalur atau menginstitusikan peruntukan kepada institusi pendidikan swasta itu. 

Katanya, ia kerana SMPC tidak disenaraikan sebagai institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996. 

"KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan saja. 

"Dalam konteks ini, SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996. 

"Oleh itu, KPM tiada obligasi untuk memperuntukkan atau menginstitusikan sebarang sumbangan modal atau sumbangan bantuan penuh kepada SMPC," katanya.

 

Previous Post Next Post