Sistem pendidikan negara hanya `mesra' murid pandai - Ahli Parlimen

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa, sistem pendidikan negara terlalu berasaskan teori dan bersifat berat sebelah kerana hanya mesra kepada murid yang pandai. 

Zakri Hassan (PN-Kangar), yang berpengalaman selama 32 tahun sebagai guru berkata, sistem pendidikan negara yang tidak banyak berubah sejak lebih 30 tahun lalu tidak cenderung membantu pelajar yang ketinggalan menyebabkan ramai yang keciciran. 

Beliau berkata, ada kajian mendapati lebih 100,000 pelajar tercicir ketika ini, selain seramai 25,000 pelajar tidak hadir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka yang tercicir dalam pendidikan. 

"Kita harus sedar, tak semua murid bijak dari segala segi. Ada murid yang lemah dalam penulisan tetapi lebih bersifat praktikal terutama di kelas belakang. 

Namun, sistem pendidikan sedia ada menyebabkan mereka ini menyumbang kepada peningkatan jumlah murid tercicir. 

"Ini disebabkan murid kelas belakang tidak diberi perhatian sewajarnya kerana Kementerian Pendidikan (KPM) hanya menjurus kepada pelajar yang cerdik dan bijak. 

"Bayangkan untuk sebuah sekolah, ada enam kelas yang lemah, dengan setiap kelas ada 30 murid. Ini bermakna sudah ada 180 murid lemah di satu sekolah. Jika 10, 100, 1,000 sekolah, maka akan semakin ramai murid yang tercicir," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengulas lanjut, Zakri melihat dasar dan perancangan yang dirangka KPM seolah-olah terpisah daripada realiti di lapangan, menyebabkan banyak perubahan yang dirancang gagal diterjemahkan di peringkat pelaksana. 

"Selama 32 tahun saya babitkan diri sepenuh masa sebagai seorang pendidik, tiada perubahan besar dalam arena pendidikan di negara kita, bahkan masih di takuk lama, 

hampir sama seperti di zaman saya mula menjadi guru hingga kini menjadi Ahli Parlimen. 

"Sistem pendidikan kita sejak dulu hanya berpaksikan peperiksaan. Guru mengajar hanya untuk pastikan silibus pelajaran yang ditetapkan, manakala murid belajar hanya untuk capai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 

"Bagi KPM pula, apa yang penting hanyalah dokumentasi semata-mata," katanya.

 

Previous Post Next Post