Setengah juta guru, penjawat awam UK sertai mogok tuntut keadilan gaji, manfaat


LONDON: Dianggarkan sehingga setengah juta guru, penjawat awam, pemandu kereta api dan pensyarah universiti Britain bergabung untuk mogok hari ini menuntut gaji dan manfaat lebih tinggi. 

Tindakan mogok beramai-ramai di seluruh negara mengakibatkan sekolah ditutup, selain menghentikan kebanyakan perkhidmatan kereta api dan tentera bersiap sedia untuk membantu pemeriksaan sempadan. 

Kira-kira 300,000 guru menyertai tindakan kumpulan terbesar menyertai mogok, menyertai gerakan lebih besar membabitkan 500,000 orang, jumlah tertinggi menyertai mogok sejak sedekad lalu. 

Setiausaha Agung Kesatuan Pendidikan Kebangsaan, Mary Bousted berkata, guru dalam kesatuannya merasakan mereka tidak mempunyai pilihan kerana penurunan gaji bermakna ramai akan meninggalkan profesion mereka, membuatkan keadaan pekerja yang kekal semakin sukar. 

“Dalam tempoh 12 tahun lalu, terdapat penurunan jangka panjang yang sangat besar dalam gaji mereka,” katanya di luar sebuah sekolah di selatan London. 

Dengan inflasi mencapai lebih 10 peratus, iaitu paras tertinggi dalam empat dekad, golongan pekerja di Britain kini rasa lebih tertekan. 

Menteri Pendidikan, Gillian Keegan, mengatakan tuntutan untuk kenaikan gaji yang besar hanya akan meningkatkan inflasi. 

“Apa yang tidak boleh kita lakukan ialah memberi kenaikan gaji yang mengurangkan inflasi kepada satu bahagian tenaga kerja dan memburukkan inflasi bagi semua orang. Itu bukan perkara yang wajar dari segi ekonomi untuk dilakukan,” katanya kepada BBC. 

Turut serta mogok hari ini ialah 100,000 penjawat awam daripada lebih 120 jabatan kerajaan dan puluhan ribu pensyarah universiti serta pekerja kereta api. Terdapat juga perhimpunan yang dirancang untuk membantah undang-undang baru bagi membendung mogok di beberapa sektor. 

Minggu depan, jururawat, kakitangan ambulans, paramedik, pengendali panggilan kecemasan dan pekerja penjagaan kesihatan lain bersedia untuk melakukan lebih banyak pemberhentian kerja manakala anggota bomba pada minggu ini turut menyokong mogok di seluruh negara. 

Mereka yang mogok menuntut kenaikan gaji melebihi inflasi untuk menampung bil makanan dan tenaga yang melonjak, menyebabkan mereka tertekan, berada di bawah penilaian kredit yang rendah dan bergelut untuk memenuhi keperluan hidup. 

Britain sebelum ini pernah menyaksikan gelombang mogok merentasi pelbagai sektor, termasuk pekerja kesihatan dan pengangkutan, pekerja gudang Amazon dan kakitangan pos Royal Mail. – REUTERS

 

Previous Post Next Post