Sesi baharu sekolah bakal bermula, kerusi bangku murid pula tak cukup…


KLANG: Pertambahan murid ke sekolah untuk sesi 2023/2024 melonjakkan semangat guru untuk mendidik anak bangsa namun kekurangan prasarana dan peralatan menjadi kebimbangan ibu bapa. 

Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Ceraka (SKBC), Ahmad Hairul Anuar Ibrahim, berkata pihaknya merayu bantuan semua pihak menambah jumlah kerusi dan meja untuk kegunaan murid. 

"Pihak sekolah telah melakukan yang terbaik, malah sehingga mendapat bantuan kerusi meja dari sekolah berdekatan, namun kos pengangkutan dengan kondisi perabot yang diterima amat merisaukan kami ibu bapa," katanya kepada BH ketika ditemui selepas Majlis Orientasi murid Tahun 1 dan PraSekolah SKBC. 

Untuk rekod, SKBC terletak di Kampung Bukit Cerakah yang dahulunya sebuah perkampungan Felda. Ia diasaskan sejak 1989 dan bangunan semasa ini dibina sejak 1993 sudah pastinya banyak prasarana dan infrastuktur yang amat memerlukan penambahbaikan. 

Dikategorikan sekolah luar bandar, SKBC menawarkan kelas Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab yang menjadi tarikan ibu bapa berminat menghantar anak ke sana. 

Hairul Anuar berkata, PIBG dimaklumkan pihak sekolah sudah membuat permohonan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang namun sehingga hari ini, masih belum ada jawapan. 

Walaupun jumlah murid Tahun 1 yang mendaftar di SKBC hanya 74 orang, seramai 92 murid dianggarkan akan mengikuti Tahun 1 sesi 2023/2024. 

"Kedudukan sekolah yang terletak di sempadan daerah Klang dan Kuala Selangor, antara masalah kami dalam memohon bantuan adalah alasan sempadan, mereka sering menolak kami ke daerah lain dan kami rasakan seperti bola ditendang ke sana ke sini," katanya. 

Seramai 332 murid aliran perdana dan 28 murid aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk sesi 2023/2024 akan datang. 

"SKBC juga menghadapi masalah kekurangan prasarana, semua 360 murid perlu berkongsi satu tandas untuk murid lelaki dan satu tandas untuk murid perempuan, malah sekolah juga tidak mempunyai surau khusus, hanya bilik darjah yang diubah suai kegunaannya," katanya. 

Hairul Anuar berkata, rata-rata ibu bapa murid SKBC adalah dari golongan B40 dan M40 yang tidak berkemampuan membuat apa-apa pertambahan kepada sekolah. 

"Kami memerlukan sokongan semua pihak membantu anak kami mendapat suasana pembelajaran yang lebih selesa," katanya.

 

Previous Post Next Post