PETALING JAYA: Cadangan melewatkan waktu sesi persekolahan kepada 8 pagi masih belum dimuktamadkan setakat ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu bukan keutamaannya buat masa ini kerana menyifatkan terdapat lebih banyak isu mendesak.
“Kita mendengar tapi pastinya kita juga nak dengar pandangan daripada ibu bapa dan semua pemegang taruh pendidikan.
“Pandangan itu kita ambil tapi kita juga harus lihat keseluruhan pandangan.
“Yang saya pasti, pandangan-pandangan itu kita ambil kira. Cuma hari ini tiada ketetapan yang kita buat berkaitan itu,” katanya kepada pemberita.
Beliau mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu waktu sesi persekolahan bermula pada 8 pagi berbanding 7.30 pagi bagi memberi ruang dan masa kepada ibu bapa dan murid untuk hadir ke sekolah tanpa perlu keluar terlalu awal dari rumah.
Kata Fadhlina, salah satu fokus beliau adalah kekurangan guru ketika ini.
“Kita tahu, kekurangan guru akan beri kesan yang cukup besar. Dalam komitmen kementerian, saya dah maklumkan sebelum ini di Sarawak, 50 peratus penempatan guru akan disiapkan sebelum Mac depan manakala negeri-negeri lain, kita akan uruskan dengan segera,” katanya.
Tambahnya, beberapa status berkaitan guru sandaran akan turut diteliti dalam usaha menyelesaikan isu kekurangan guru. – UTUSAN