Mansuh program: KPM akan keluarkan SPI - Fadhlina Sidek

 

Menteri Pendidian YB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas berkaitan pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid, sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula. 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, surat pekeliling itu, akan dikeluarkan untuk memberikan penjelasan dengan terperinci berhubung pemansuhan tersebut. 

"(Pemansuhan) boleh terus dilaksanakan. Yang ada dalam surat itu nanti adalah perinciannya dan sebelum bermula sekolah kita akan keluarkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis. 

Beliau berkata, KPM akan sentiasa menilai situasi dan memperkenalkan langkah-langkah yang dapat mengurangkan beban tugas guru dari semasa ke semasa, dalam memastikan kesejahteraan guru terjamin sekali gus mengoptimumkan sesi pengajaran dan pembelajaran. 

Sebelum ini, KPM mengumumkan pemansuhan tersebut yang merupakan antara tujuh langkah segera diambil dalam teras kelima KPM yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi para guru. 

Ia membabitkan antaranya pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan seumpamanya. 

Menjawab isu kekurangan guru yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen sewaktu perbahasan usul berkenaan, Fadhlina berkata, KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru pada tahun 2021 dan 2022, yang ditempatkan di sekolah KPM di seluruh negara.
Previous Post Next Post