Kurikulum sekolah kita setanding negara lain - Fadhlina Sidek

Kurikulum persekolahan di Malaysia adalah setanding dengan kurikulum negara lain, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.


Menurutnya, dalam proses semakan kurikulum, kementeriannya telah melaksanakan kajian perbandingan kurikulum persekolahan di negara ini dengan negara lain seperti Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom dan Finland. 


“Dapatan menunjukkan bahawa kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain. 


“Bagi memastikan kurikulum sentiasa releven, KPM terbuka mendengar pandangan pelbagai pihak dan komited untuk melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan kurikulum,” katanya dalam jawapan bertulis di parlimen semalam.


Fadhlina (PH-Nibong Tebal) berkata demikian ketika menjawab soalan Aminodhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu langkah-langkah yang telah diambil berkaitan ketidaksesuaian kurikulum tahap 1 dengan usia murid seperti rintihan ibu bapa mereka.


Dalam jawapannya, Fadhlina berkata keutamaan KPM adalah  melaksanakan kurikulum yang relevan dengan keperluan pembelajaran murid mengikut usia. 


“Matlamat kurikulum sekolah rendah terutama pada Tahap I (Tahun 1, 2 dan 3) adalah untuk memupuk perkembangan fizikal, kognitif, mental, emosi, sosial, rohani, sikap dan nilai. 


“Fokus kurikulum Tahap I adalah untuk penguasaan kemahiran 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul), kemahiran asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), kreatif dan inovatif. 


“Pelaksanaan mata pelajaran pada Tahap I membolehkan setiap kanak-kanak membina asas amalan nilai murni, membentuk keyakinan diri dan sikap positif serta pemerolehan pengetahuan dan kemahiran asas sebagai persediaan untuk mengikuti pembelajaran seterusnya,” katanya.


Selasa lalu, ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa ibu bapa semakin prihatin dengan taraf sukatan pelajaran kebangsaan berbanding pendidikan swasta.


Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa kedua-dua Singapura dan Jepun mengatasi Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) global yang digunakan untuk menilai sistem pendidikan dengan mengukur prestasi skolastik murid sekolah berumur 15 tahun dalam matematik, sains dan membaca.


Katanya, sehingga 20 peratus daripada perbelanjaan negara lazimnya diperuntukkan kepada sektor pendidikan, angka yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan Singapura dan Jepun.


Syed Saddiq berkata trend peralihan itu adalah petanda bahawa sektor pendidikan berada dalam krisis dan memerlukan pembaharuan segera.

Previous Post Next Post