Imej hiasan |
KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mendedahkan bahan audio berkaitan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang dijalankan pada Khamis lalu.
Pakar Pendidik Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata perkara itu bagi membolehkan ibu bapa dan orang awam menilai sendiri kesahihan dakwaan dalam media sosial berhubung kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan TikTokers sebagai pelontar suara.
Beliau berkata, ketika ini orang ramai hanya membuat penilaian berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
"Saya sendiri tidak boleh membuat sebarang kenyataan, memandangkan belum mendengar audio sebenar. Bimbang sekiranya ia tidak benar.
"Kalau ia betul-betul tidak mengganggu peperiksaan, maka Lembaga Peperiksaan perlu dedahkan bahan audio berkenaan," katanya kepada BH, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Lembaga Peperiksaan (LP) menggunakan TikTokers sebagai pelontar suara audio UMBI.
Sementara itu, LP dalam kenyataannya, menafikan perkara itu dan memaklumkan bahawa pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.
Katanya, pelontar suara adalah mereka yang berwibawa dalam Bahasa Inggeris dan diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022.
"LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI kekal utuh dan akan memastikan kepentingan dan keadilan calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin," katanya.
Namun, UMBI mencetuskan kontroversi apabila pelontar suara dalam audio yang diperdengarkan kepada calon SPM 2022 dikatakan bertutur laju hingga tidak jelas apa yang dituturkan.
Rasa tidak puas hati dan kekecewaan terhadap kualiti audio itu bukan setakat diluahkan oleh calon, malah turut diakui oleh guru yang mengawasi ujian berkenaan, selain menimbulkan kemarahan ibu bapa yang bimbang ia menyebabkan anak-anak trauma.
Walaupun setakat ini penggunaan Tiktokers sebagai pelontar suara dalam audio itu dinafikan oleh LP dan KPM, namun beberapa pihak mendakwa suara pelontar audio itu adalah Tiktokers yang juga belajar sebuah universiti tempatan.
Sementara itu, pensyarah Jabatan Pendidikan dan Sains Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Othman Talib, mempersoalkan sama ada objektif UMBI sudah tersasar sekiranya penutur menggunakan sebutan yang tidak lazim di negara ini, malah didakwa bercakap laju sehingga tidak jelas apabila mendengarnya.
Tambahnya, menguji kebolehan mendengar perlu membabitkan percakapan atau dialog yang jelas, malah adalah wajar fon kepala disediakan supaya pelajar dapat mendengar dengan jelas tanpa gangguan gema dalam dewan peperiksaan.
"Dalam realiti komunikasi, kita masih boleh bertanya lanjut atau meminta penjelasan apabila tidak memahami sebutan yang didengar, tetapi tidak dalam peperiksaan," katanya.
Sementara itu, guru, Jarod Yong menerusi hantaran di laman Facebook, berkata berdasarkan maklum balas pelajar, rakaman audio tahun lalu adalah sangat bagus.
"Tahun lalu pelontar suara bertutur dengan jelas dan kelajuan pertuturan adalah stabil.
"Bagaimanapun, kali ini (tahun ini), pelontar suara bercakap terlalu cepat dan tidak menyebut perkataan dengan betul. Kebanyakan pelajar menyerah tidak sampai separuh jalan," katanya.