Kerajaan perlu selaras pemberian elaun penjawat awam - CUEPACS


KOTA BHARU: Pemberian elaun kepada penjawat awam boleh membantu meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan ketika ini. 

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata justeru kerajaan perlu meneliti dan menyelaraskan semula pemberian beberapa elaun yang bersesuaian dengan situasi semasa yang dihadapi penjawat awam. 

Katanya, kerajaan boleh menambah gaji atau menyelaras dalam bentuk dasar yang boleh diubah suai supaya 'take home pay' (gaji yang dibawa pulang) penjawat awam ini ada sedikit peningkatan memandangkan ketika ini kerajaan tidak mampu memenuhi kehendak kenaikan gaji yang didambakan susulan kos yang semakin meningkat. 

"Pelarasan dalam bentuk elaun ini boleh dibuat supaya penjawat awam sedikit selesa dari segi pendapatan dan perbelanjaan yang adil. 

"Perbelanjaan pada ketika ini tidak adil dengan gaji yang kami ada walaupun kerajaan kata boleh dikekalkan, tetapi perbelanjaan sepatutnya lebih adil dan kami mampu berbelanja dengan harga barang yang ada pada hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat PERKESO, di sini, hari ini. 

Dalam perkembangan sama, Adnan berkata, masalah gaji serta bebanan kerja adalah antara punca berlaku masalah tekanan di tempat kerja yang dihadapi penjawat awam. 

"Apabila duit tak cukup atau dalam bahasa mudah, gaji tak cukup, ia akan turut memberi tekanan kepada penjawat awam kerana ia berkaitan dengan kehidupan yang selesa. 

"Selain itu, tekanan ini juga berkaitan dengan penjawatan yang mana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pernah untuk menambah walaupun jabatan berkenaan tidak mencukupi. 

"Ini menyebabkan kakitangan yang ada terpaksa menjalankan tugas berlipat kali ganda dengan menanggung tugas rakan yang sudah bersara dan meninggal dunia tanpa ada pengisian segera di pihak JPA ataupun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya.

 

Previous Post Next Post