Kementerian digesa naik taraf atau mansuh terus iDME

Imej hiasan


KOTA BHARU: Warga pendidik meminta Sistem Pengurusan Identiti (iDME) dimansuhkan atau dinaik taraf terlebih dahulu kerana ia memberi satu bebanan dalam kalangan guru.

Mereka berpendapat, sistem sedia ada lebih mudah berbanding iDME yang bukan sahaja menyusahkan sebaliknya dianggap seperti kerja sia-sia apabila perlu melakukan perkara sama berulang kali.

Mereka mendakwa data dimasukkan 'hilang' apabila sistem itu dibuka semula kemudian.

Seorang guru yang mahu dikenali sebagai Rosliana, 45, menganggap iDME adalah sistem yang sangat membebankan mereka.

"Bayangkan kita mengambil masa beberapa jam untuk mengisi markah murid, namun selepas siap dan menyemak semula, semua maklumat itu kosong.

"Sistem sudahlah perlahan dan memerlukan masa lama untuk menyiapkannya, namun akhirnya hasil sangat mengecewakan.

"Bayangkan saya terpaksa bangun tengah malam untuk mengisi markah dan apa yang menyedihkan apabila menyemak semula maklumat (ia) kosong.

"Apa yang berlaku seolah-olah kita melakukan kerja yang sia-sia," katanya.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 16 tahun itu turut berharap Kementerian Pendidikan menaik taraf sistem berkenaan sebelum digunakan supaya tidak menimbulkan masalah dalam kalangan guru.

"Jika tidak mahu menaik taraf, mansuh terus saja kerana apa yang berlaku ini menyusahkan guru," katanya.

Hafizuddin yang juga seorang guru turut berpendapat sama, iaitu sistem yang diperkenalkan itu semakin membebankan.

"Jika sebelum ini masalah internet lemah yang menyebabkan sukar mengisi maklumat sudah lama, namun ia semakin ketara sejak iDME diperkenalkan.

"Apakah kami guru perlu melakukan kerja sama setiap awal pagi namun ia seolah-olah kerja kami tidak pernah selesai?.

"Kementerian Pendidikan patut memikirkan perkara yang memberi kemudahan bukan membebankan guru," katanya.

Masihaila pula berpendapat sistem itu sebenarnya menyenangkan jika boleh diisi markah terus tanpa masalah berbangkit.

"Bagaimanapun sistem itu kini seolah-olah dalam proses percubaan, namun sudah disuruh guru mengisi data yang akhirnya menimbulkan masalah.

"Biarlah sistem benar-benar sempurna sebelum digunakan kerana yang akhirnya guru begitu tertekan. Lebih baik guna sistem sedia ada dan mansuhkan sistem baharu ini.

"Kami nak pergi ke mana-mana pun rasa berat dalam fikiran memandangkan kerja yang sehingga ini tidak selesai," katanya.

Media melaporkan, Kementerian Pendidikan mengarahkan penggunaan iDME ditangguhkan untuk langkah membaik pulih sistem itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata justeru KPM berharap guru dapat bertenang seketika sebelum satu arahan baharu dijangka dikeluarkan esok.

 

Previous Post Next Post