Imej hiasan |
Kecederaan lutut kiri seorang murid darjah lima di Tanah Merah, Kelantan didakwa bertambah buruk selepas gurunya memberikan hukuman kerana tidak hadir ke sekolah dengan melakukan ketuk ketampi.
Pihak berkuasa sekolah sejak itu telah memohon maaf kepada keluarga pelajar tersebut yang dikatakan trauma dan ketakutan untuk kembali ke sekolah.
Kanak-kanak itu pada mulanya mengalami keretakan lutut tiga bulan lalu apabila dia terjatuh ketika bermain bola sepak, kata ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Azlina.
Ibu berusia 36 tahun itu berkata doktor di sebuah klinik swasta pada ketika itu menasihatkan anaknya supaya tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal yang berat.
“Dia juga terlepas banyak kelas kerana kecederaan. Saya juga telah memaklumkan keadaannya itu kepada gurunya,” katanya, seperti dipetik New Straits Times hari ini.
Pada 8 Jan lepas, murid itu tidak hadir ke
sekolah kerana mengalami cirit-birit dan kata Azlina dia juga telah memaklumkan kepada guru-guru dalam kumpulan WhatsApp.
“Bagaimanapun, anak saya dan beberapa pelajar lain dipanggil keesokan harinya kerana ponteng sekolah. Mereka diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak 30 kali sebagai satu bentuk hukuman,” katanya.
Memandangkan anaknya masih belum sembuh daripada kecederaan lutut, dia tidak dapat menyelesaikan hukuman itu dan mengadu mengalami kesakitan.
Azlina mendakwa guru itu tidak mengendahkan penjelasan anaknya malahan menuduhnya berbohong dan menumbuknya di bahagian dada.
Keluarga itu kemudian menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah pada hari itu kira-kira pada jam 10.30 pagi dan diminta membawa pulang kenak-kanak berkenaan selepas dia mengadu sakit di lututnya.
Pelajar itu dalam keadaan teruk sehingga datuknya yang pergi menjemputnya terpaksa mendukungnya ke arah motosikal.
“Malam itu, dia mengadu lebih sakit dan saya mahu membawanya ke hospital.
“Bagaimanapun, pihak sekolah meminta saya menangguhkan kunjungan pemeriksaan itu memandangkan dia akan menghadapi peperiksaan.
“Tidak lama kemudian, wakil sekolah datang memohon maaf dan mengaku terlalu kasar dengannya. Mereka juga menyerahkan sejumlah wang sebagai bentuk sumbangan,” katanya.
Azlina berkata dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tanah Merah pada 22 Jan dan doktor di sana merujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu yang mana dia perlu menjalani pembedahan.
Walaupun pihak keluarga tidak berhasrat untuk meneruskan perkara itu, Azlina berkata dia akan membuat laporan polis tidak lama lagi berhubung kejadian ini bagi membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Ini selepas dia mendengar beberapa pihak mendakwa pihak sekolah tidak dipersalahkan atas kejadian itu - sesuatu yang telah menyebabkan dia kecewa, katanya.
“Ia hanya satu cara untuk menjaga kepentingan kami dan ia bukan untuk menyebabkan sesiapa berhadapan dengan masalah.
"Kami difahamkan guru terbabit telah dipindahkan ke sekolah rendah lain di daerah ini,” katanya.