Imej hiasan |
PETALING JAYA – Kegagalan membuat perancangan lebih awal antara punca berlakunya situasi ‘panik’ ibu bapa apabila terpaksa membuat persediaan perbelanjaan sekolah, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, seharusnya perancangan dan persiapan dapat dilakukan lebih awal sebagai persediaan.
“Sebenarnya perbelanjaan bermusim ni bukan sesuatu yang kita tidak jangkakan, contohnya sesi baru persekolahan dan perayaan yang kita sedia maklum berlaku setiap tahun.
“Semua ini adalah sesuatu yang kita boleh rancang lebih awal dan simpan bajet perbelanjaan. Yang jadi masalah apabila tak rancang dan tempuh saja bila tiba masa, itu yang jadi masalah,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, amalan ukur baju di badan sendiri dan utamakan perkara lebih penting juga perlu dijadikan panduan dalam menguruskan perbelanjaan seharian.
“Beri keutamaan kepada perkara yang lebih penting dan amalkan alternatif kesederhanaan. Elakkan bermewah-mewah sebab kita tak tahu bila situasi ekonomi negara akan pulih.
“Mana yang boleh dipakai atau digunakan lagi, tak perlu beli baharu. Bezakan antara keperluan dan kemahuan sebab ia senang diucap, hakikatnya bersederhana ini memerlukan pemahaman serta usaha untuk direalisasikan.
“Bukan tukar telefon bimbit, kereta atau ubah suai rumah tetapi perbelanjaan pendidikan anak-anak, pelaburan kesihatan dan simpanan tabung kecemasan itu yang perlu diutamakan.
“Jika mampu tak mengapa tapi kalau sekadar cukup makan, ukur baju di badan sendiri. Jika keperluan anak dan keluarga terganggu semata-mata kerana tuntutan emosi atau nafsu, itu tidak adil dan salah,” ujarnya.
Dalam masa sama katanya, elak berhutang bagi memenuhi tuntutan perbelanjaan supaya tidak menanggung bebanan dan kesukaran untuk membuat pembayaran pada masa akan datang.
“Elakkan konsep gali lubang tutup lubang. Saya tidak sarankan untuk penuhi semua ini dengan membuat pinjaman peribadi, guna kad kredit, along atau ceti haram.
“Jangan sampai semata-mata nak penuhi kehendak semasa hingga kita perlu bergolok-gadai sekali gus beri kesan pada kehidupan seharian dan keharmonian keluarga. Berhutang seronoknya dua ke tiga hari saja tapi nak tanggung azab hutang itu yang lama,” jelasnya lagi.
Tambahnya, inisiatif yang disediakan kerajaan juga perlu digunakan sebaiknya kerana ia membantu untuk kegunaan bagi masa-masa tertentu.
“Kos sara hidup sering disalahkan sedangkan saban tahun semua sedia maklum berlaku kenaikan di luar kawalan kita, tetapi sebagai pengguna, perancangan itu penting.
“Contohnya wang Bantuan Awal Persekolahan dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi golongan B40, rancang dan gunakan sebaiknya,” katanya.