Gabungkan mata pelajaran Pendidikan Islam dengan Kelas KAFA

 

MATA pelajaran Pendidikan Islam dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain dicadang digabungkan bagi memudahkan murid mengikuti kelas itu tanpa perlu dua sesi yang berasingan.

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ia juga membolehkan guru Kafa diserap sebagai guru berjawatan tetap dalam kerajaan.

“Mengapa sekolah rendah ada mata pelajaran Pendidikan Islam dan pada masa sama ada juga Kafa sebelah petang?.

“Mengapa murid-murid perlu belajar Pendidikan Islam dan Kafa secara berasingan?. Mengapa tidak digabungkan sahaja Pendidikan Islam di bawah Kafa?,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anuar berkata, jika ia digabungkan guru Kafa boleh diserapkan sebagai guru berjawatan tetap dalam kerajaan.

Semalam, beliau mencadangkan sistem persekolahan di Semenanjung Malaysia wajar dimulakan pukul 8 pagi bagi memudahkan guru-guru, ibu-bapa dan anak-anak khususnya menguruskan masa.

Katanya, ada yang terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi terutama di bandar kerana terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah.

Sementara itu, dalam ruangan komen netizen menyuarakan pandangan berbeza dan ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Mereka berpendapat, Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan hanyalah diajar asas manakala Kafa pula tempat terbaik untuk mendalami sesuatu subjek dan lebih berfokus.

Menurut mereka, Kafa diwujudkan atas kapasiti pemantapan asas fardhu ain yang diajar dalam subjek Pendidikan Islam dan jika digabungkan terpaksa mengikut silibus Kementerian Pendidikan (KPM). – Malaysiapost
Previous Post Next Post