PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) belum mempunyai perancangan mewujudkan jawatan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugas tenaga pengajar.
Bagaimanapun, menterinya, Fadhlina Sidek berkata, memahami isu kebajikan guru di sekolah, KPM melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi; pengurusan data dan sistem dalam talian; penyeragaman borang dan proses pemantauan; serta sistem rekod kesihatan murid secara dalam talian (e-RKM).
“Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) juga sedang memperhalus inisiatif dan dapatan kajian berhubung kebajikan guru dan akan mengemukakan syor kepada KPM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta menteri pendidikan menyatakan langkah terkini KPM berhubung pewujudan jawatan pembantu guru seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Dalam manifestonya bagi PRU15, PH menawarkan janji reformasi dalam pendidikan, antaranya mempertimbangkan pelantikan pembantu pengajar bagi membantu guru melaksanakan tugas pentadbiran di sekolah.
KPM pernah melaksanakan pelantikan pembantu guru secara rintis di Melaka dan Kedah pada 2013 hingga 2019, yang mana tugas mereka adalah untuk melaksanakan kerja-kerja perkeranian, pengurusan data dan maklumat serta tugas berkaitan pengurusan perpustakaan.
Bagaimanapun, program berkenaan tidak diteruskan mulai 2020 ekoran implikasi perjawatan dan kewangan yang tinggi kepada kerajaan.
Isu pembantu guru sebelum ini diperjuangkan oleh Maszlee Malik, menteri pendidikan era PH, yang berjanji akan meneruskan cadangan mewujudkan jawatan berkenaan.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai kurikulum tahap 1 yang dikatakan tidak sesuai dengan usia murid, Fadhlina berkata, hasil perbandingan dengan negara lain seperti Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom dan Finland, didapati kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain.
Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan, KPM terbuka mendengar pandangan pelbagai pihak dan komited untuk melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan kurikulum.
“Penambahbaikan ini bertujuan untuk merapatkan jurang dalam pelaksanaan kurikulum dan seterusnya meningkatkan kemenjadian murid.
“Antara langkah yang dilaksanakan bagi merapatkan kesenjangan pelaksanaan kurikulum adalah pemugaran kurikulum semasa sekolah rendah, pemugaran pendidikan digital, memperkasakan latihan guru dan melihat semula kesesuaian peruntukan waktu bagi mata pelajaran,” katanya.