Bapa tertekan sekolah mohon sumbangan jamuan kelas akhir tahun

Imej hiasan


SAUDARA PENGARANG, 

SEPERTI yang kita tahu bulan ini adalah penghujung sesi persekolahan 2022/2023 dan pada Mac akan bermula kalendar akademik sesi 2023/2024. 

Sebab itu pada bulan ini penuh dengan mesej-mesej dalam kumpulan WhatsApp sekolah dengan ayat ‘mohon perhatian emak ayah’ yang melibatkan permohonan sumbangan bagi mengadakan jamuan kelas akhir tahun. 

Selain sumbangan makanan dan minuman untuk jamuan di sekolah, ada juga mesej meminta sumbangan wang tunai kerana jamuan akhir tahun dan majlis perpisahan diadakan di restoran luar. 

Jamuan tersebut lebih istimewa bagi meraikan murid darjah enam yang akan berpisah dengan guru kerana bakal melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah harian biasa atau sekolah berasrama penuh. 

Kerana mesej-mesej tersebut yang membawa berita ‘duka’ maka kegembiraan ibu bapa menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 setiap anak hanya bersifat sementara kerana ia terpaksa digunakan bagi memberikan sumbangan makanan atau wang tunai untuk jamuan kelas akhir tahun. 

Bayaran untuk jamuan yang diadakan di restoran bukan murah kerana peningkatan kos harga barang sekarang yang menyebabkan peniaga menaikkan harga makanan. Saya telah membayar RM65 bagi seorang anak termasuk kos bagi membiayai sesi bergambar dan hadiah cabutan bertuah. 

Walaupun mesej dalam kumpulan WhatsApp daripada guru hanya menyebut mengalu-alukan sumbangan daripada emak dan ayah yang ingin menyumbang iaitu bererti bukan wajib, ibu bapa tetap berasa tertekan kerana bimbang anak-anak malu dengan rakan-rakan jika tidak berbuat demikian. 

Diharapkan Kementerian Pendidikan mengeluarkan nasihat kepada sekolah supaya mencontohi langkah Kerajaan Perpaduan yang menjalankan kempen berjimat cermat.

BAPA TERTEKAN, Rawang, Selangor

 

Utusan
Previous Post Next Post