APM bantu hantar calon SPM, guru, pegawai terjejas banjir ke sekolah

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang membantu menghantar 16 calon SPM, empat guru dan seorang pegawai ke SMK Chong Hwa di Kuantan, Pahang selepas laluan ke sekolah berkenaan ditutup untuk kenderaan kecil berikutan banjir, pada pukul 7.15 pagi. - FOTO IHSAN APM PAHANG


KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang membantu menghantar 16 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chong Hwa di sini pagi ini.


Selain pelajar berkenaan, turut dihantar empat guru dan seorang pegawai yang terlibat dengan peperiksaan SPM di sekolah tersebut.


Menurut jurucakap APM Pahang, kesemua mereka dihantar menaiki trak agensi terbabit berikutan laluan menuju sekolah berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.


Mereka dikatakan diambil dari lokasi berkumpul yang terletak di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah Pahang (UniPSAS) pada pukul 7.15 pagi.


Menurut sumber dari laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan, setakat pukul 7 pagi tadi, Jalan Kuantan – Endau berhampiran UniPSAS dari arah Kuantan ke Pekan ditutup untuk semua jenis kenderaan.


Manakala laluan dari arah Pekan pula mula dibuka kepada semua jenis kenderaan memalui lorong cepat.- UTUSAN

Previous Post Next Post