Samun wang BAP RM109,000: Polis rakam keterangan 2 guru, pekerja restoran

Sungai Buloh: Polis sudah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah rendah di Branang, Selangor, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, tiga individu berkenaan adalah dua guru sebuah sekolah rendah termasuk guru besar dan seorang pekerja restoran.

Menurutnya, siasatan teliti dijalankan secara menyeluruh termasuk kemungkinan wujud elemen 'orang dalam'.

"Polis juga akan memanggil pihak bank bagi membantu siasatan.

"Kita juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di sekitar tempat kejadian, namun setakat ini masih belum ada tanda positif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini

Harian Metro sebelum ini melaporkan guru besar sekolah terbabit berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan yang diperuntukkan untuk sekolah berkenaan hilang, apabila dilarikan penjenayah.

Difahamkan wang berkenaan baru saja dikeluarkan guru besar di sekolah berkenaan sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dipetik berkata, guru berusia 50 tahun itu mengeluarkan wang BAP yang sepatutnya akan diagihkan kepada pelajar Selasa lalu tanpa ditemani orang lain atau polis pengiring.

Previous Post Next Post