Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk samada kembalikan UPSR dan PT3 hanya selepas PPPM 2025 tamat sebenarnya bertentangan dengan hasrat jangka panjang sistem pendidikan negara. Perkara tersebut ditegaskan oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Menurut beliau negara-negara maju sedang pesat bergerak kepada pentaksiran berterusan (seperti PBD) dan mula memansuhkan sistem pentaksiran berasaskan peperiksaan.
"Maksudnya untuk keperluan jangka panjang, pertimbangan untuk KPM kembalikan UPSR dan PT3 selepas PPPM 2025 tamat bukanlah satu pilihan yang bijak untuk sistem pendidikan negara pada masa depan.
"Kembalikan UPSR dan PT3 selepas PPPM 2025 tamat adalah satu langkah ke belakang pada sistem pendidikan negara," jelas beliau.
Beliau berkata KPM sepatutnya sudah membuat ketetapan untuk melaksanakan sepenuhnya PBD secara berkesan selepas PPPM 2025 dan ianya akan selari dengan apa yang sedang dilakukan oleh negara maju yang lain.
Beliau juga mencadangkan beberapa langkah terbaik untuk sementara waktu sehingga tamatnya PPPM 2025.
Pertama, menyedari bahawa pemansuhan UPSR dan PT3 telah dilakukan secara tergesa-gesa pada 2021, kemudian dilaksanakan PBD dalam keadaan yang bercelaru dan tidak mantap sebagaimana yang dilaksanakan di negara maju, beliau mencadangkan supaya mulai sesi persekolahan Mac 2023, PBD dan Ujian Akhir Sesi Akademik ditangguhkan dahulu pelaksanaannya .
Sebagai ganti, beliau menyarankan agar dilaksanakan kembali UPSR dan PT3 sekurang kurangnya sehingga tamatnya PPPM 2025.
Menurutnya, walaupun UPSR dan PT3 bukanlah pentaksiran untuk pendidikan masa depan, sekurang-kurangnya buat masa sekarang, pelaksanaan UPSR dan PT3 jauh lebih berkesan, sahih dan dipercayai oleh ibubapa berbanding PBD dan UASA.
Oleh yang demikian, untuk 3 tahun yang akan datang, laksanakan dahulu UPSR dan PT3. Meneruskan PBD dan UASA seperti sekarang yang cacamarba hanya akan merugikan anak-anak dan merendahkan kualiti pendidikan negara. Reputasi KPM juga akan terjejas teruk di mata rakyat.
"Kedua, pada masa yang buat persiapan rapi untuk laksanakan PBD yang lengkap dan teratur selepas PPPM 2025 tamat. Mulai sekarang pasukan KPM mestilah segera lakukan kerja penelitian, rombakan dan mantapkan PBD.
"Rombak semua silibus lama untuk digantikan dengan silibus baru yang sesuai dengan PBD, mula latih guru tentang pedagogi untuk tujuan PBD secara berkesan, kukuhkan prosedur pelaksanaan dan pelaporan PBD serta berikan lebih banyak info, kefahaman dan faedah PBD kepada ibubapa.
"Seterusnya lengkapkan kemudahan dan infra pembelajaran selari dengan hasrat PBD, kecilkan bilangan murid di dalam kelas dan permudahkan sistem pelaporan oleh guru untuk meningkatkan keberkesanan PBD. Sasarkan untuk PBD yang lengkap dan berkualiti dilaksanakan mulai tahun 2026, apabila tamatnya PPPM 2025," katanya.