Pensyarah cadang sesi persekolahan bermula jam 8 pagi

Imej hiasan

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan dicadangkan memulakan sesi persekolahan di Semenanjung bermula pukul 8 pagi. 

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidkan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, cadangan itu adalah selaras atau meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’. 

Katanya, kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi. 

“Jika di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah. 

“Di sekolah pedalaman pula, anak-anak kecil terpaksa jalan becak dan berlumpur. Ada yang terpaksa meredah denai kecil. Ada anak-anak yang terpaksa berperahu ke sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau memberitahu, langkah itu bagi membolehkan anak-anak sempat bersarapan bersama keluarga berbanding sebelum ini lebih kepada bergegas ke sekolah. 

“Sekiranya kerajaan prihatin dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, apa salahnya kita lakukan sesuatu yang betul untuk rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada pukul 8 pagi,” katanya. 

Untuk rekod sesi persekolahan ketika ini bermula pukul 7.30 pagi. 

Sebelum ini, cadangan sama pernah dilontarkan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018. 

Jelasnya, Sekolah-sekolah bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula pukul 8 pagi, berbanding 7.30 pagi di sekolah kelolaan kementerian. 

Pendekatan, katanya, mendapat respon positif ibu bapa dengan kerana memberi ruang lebih selesa kepada ibu bapa sekali gus mengelak suasana kelam kabut aliran trafik pada waktu pagi. -KOSMO!ONLINE

 

Previous Post Next Post