Murid berkenaan |
Subang Jaya: Murid perempuan yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama di sebuah sekolah menengah, di sini, awal pagi semalam, sudah ditemukan, malam tadi.
Ibu murid berkenaan berkata, anaknya yang berusia 14 tahun ditemukan di sekitar USJ 9, kira-kira 10 malam tadi.
"Saya dapat mengesan telefon (yang digunakan anaknya) melalui alamat e-mel sebelum menemuinya di lokasi berkenaan.
"Alhamdulillah, (dia) ditemukan dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wanita itu berkata, anaknya bertindak melarikan diri kerana tidak mahu tinggal di asrama.
"Saya sendiri belum dapat kepastian sebab dia tidak mahu tinggal di asrama.
"Dia tidak pernah kongsi apa-apa (masalah dialaminya) dan terus mengambil tindakan sebegini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan murid berkenaan sudah ditemukan.
"Perkembangan lanjut akan diberi selepas laporan polis dibuat oleh pengadu (ahli keluarga remaja berkenaan)," katanya dalam kenyataan ringkas, malam tadi.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang murid perempuan hilang selepas melarikan diri dari asrama di sebuah sekolah menengah, di sini, awal pagi semalam.
Remaja itu disedari hilang oleh rakannya apabila mendapati dia tiada di bilik asrama mahupun di dalam kelas, semalam.