Imej hiasan |
LUMRAH manusia lebih tertarik dengan perkara yang mudah dan menguntungkan tanpa perlu membanting tulang atau memerah otak.
Jika bernasib baik, cukup dengan bermodalkan wajah yang cantik, dan telatah yang menghiburkan, sudah mampu menjana pendapatan lebih daripada gaji seorang profesional.
Bahkan, jika kita lihat, di platform media sosial popular - TikTok, ramai juga yang tidak bermodalkan paras rupa, tetapi mampu menarik ratusan ribu pengikut dan menjana wang daripada gift dan juga hasil jualan produk yang diperoleh ketika bersiaran langsung.
Kerana itu, ramailah yang memasang cita-cita untuk memanfaatkan platform sosial media sebagai peluang ‘kerjaya’ demi ‘gaji’ yang lumayan.
Itulah realiti yang berlaku hari ini dan tanpa sedar, fenomena ini telah mengaburi mata generasi muda dengan memberi isyarat seolah-olah tidak mengapa jika tidak berpendidikan tinggi untuk mendapat kerjaya yang menjamin masa depan asalkan mempunyai ilmu untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.
Maka, terkuburlah nasihat-nasihat sejak berzaman lamanya bahawa pendidikan penting untuk mengubah nasib, khususnya mereka yang lahir dalam keluarga berpendapatan rendah dan juga miskin agar tidak mewarisi kesukaran hidup serta demi masa depan yang lebih baik.
Bukannya penulis menafikan betapa pentingnya memanfaatkan teknologi dan fenomena, namun yang menjadi kebimbangan adalah jika ia benar-benar telah mempengaruhi pemikiran generasi masa depan negara yang sudah tidak berminat dengan pendidikan formal.
Kebimbangan ini berasas kerana kajian yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Untuk Malaysia telah menunjukkan angka yang mengejutkan apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zul Fikri Zamir, mendedahkan bahawa kajian di lapangan mendapati hampir 100,000 pelajar dianggap tercicir daripada sistem pendidikan dan ia realiti yang amat membimbangkan.
Antara dapatan yang didedahkan terdapat lebih kurang 25,000 pelajar berdaftar mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi tidak hadir di mana kebanyakan mereka dipercayai tidak berniat untuk mengambil SPM namun nama mereka didaftarkan oleh guru atau sekolah masing-masing.
Selain itu, lebih kurang 45,000 pelajar yang mengambil SPM namun tidak berjaya mendapatkan sijil SPM mereka antaranya kerana tidak lulus bahasa Melayu dan Sejarah.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) disaran merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional dengan segera.
Pada masa sama, reaksi positif daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berikrar memastikan isu keciciran murid diberikan perhatian sewajarnya tahun ini perlu disusuli dengan tindakan yang lebih agresif.
Berbalik kepada fenomena yang berlaku, masyarakat perlu sedar bahawa teknologi dunia berkembang dengan sangat pesat dan boleh berubah dalam masa yang singkat.
Kita tidak boleh sekadar bersandarkan kepada nasib tanpa asas yang kukuh.
Pada akhirnya, ramai akan kembali untuk ‘makan gaji’ dengan bermajikan untuk rasa lebih terjamin.
Namun, tanpa pendidikan, sekurang-kurangnya tahap SPM, sukar untuk menjalani hidup yang selesa apatah lagi kita kini di zaman ‘semuanya naik harga’.
Sedangkan gaji minimum RM1,500 pun masih ditahap ‘sakit’ apatah lagi untuk mengharapkan gaji di bawah kelayakan SPM untuk diambil bekerja.
Tidak salah memanfaatkan teknologi, bahkan ramai yang menjadikannya sebagai ‘bonus’ untuk menjana pendapatan sampingan – walaupun hasilnya lebih lumayan daripada gaji bermajikan.
Bukannya tamak, tapi pada penulis, inilah langkah yang lebih bijak kerana kita tidak tahu untung nasib kita di masa hadapan.
Dalam hal ini juga, kerajaan perlu lebih serius memastikan perangkap teknologi ini tidak terus memenjarakan fikirkan rakyat yang lebih mementingkan wang daripada pendidikan.
Isu ini perlu dipandang dengan amat serius kerana apa yang lebih penting adalah tenaga kerja profesional dan berintelek tinggi dalam kalangan generasi akan datang.
Adakah kita mahu lihat keciciran yang berlaku hari ini diwarisi oleh generasi seterusnya?
Lalu, Malaysia terpaksa bergantung dengan tenaga kerja asing, yang mengakibatkan wang negara mengalir keluar lebih banyak seterusnya memberi impak ekonomi yang lebih buruk.
Fikir-fikirkanlah.
* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional