PETALING JAYA: Beberapa pengamal pendidikan mempersoalkan keanggotaan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, baru-baru ini.
Sahul Hamid Mohamed Maiddin, seorang pensyarah di Universiti Pengajian Sultan Idris, tertanya di mana peranan para pengkritik yang banyak menulis di media mengenai realiti sistem pendidikan dalam majlis yang akan menasihati menteri berhubung isu pendidikan itu.
“Ada beberapa sarjana yang giat mengkritik dan mencadangkan penyelesaian, tetapi malangnya suara mereka tidak diangkat untuk menjadi suara rasmi yang mampu memberi impak positif terhadap sistem pendidikan kita,” katanya di Facebook.
Fadhlina pada Khamis mengumumkan pelantikan bekas ketua pengarah pendidikan, Amin Senin sebagai pengerusi MPPK untuk sesi 2023-2025.
Beliau akan dibantu oleh Prof Mohamad Fauzan Noordin sebagai timbalan, Prof Omar Yaakob, Mehander Singh Nahar Singh, Prof Inayah Ya’akub, Mohd Abd Aziz Mahmud, Aminuddin Awang, Rusilawati Mohd Salleh, dan Chee Poh Kiem.
Semua yang terpilih mempunyai kepakaran, kata Fadlina, yang antara lain akan tumpu kepada isu beban tugas guru.
Anuar Ahmad, seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, menyoal mengapa dilantik ahli MPPK yang dulunya juga dalam kalangan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan, yang katanya menyumbang kepada meningkatkan beban tugas guru selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
“Adakah dengan melantik orang yang dahulunya berjaya meyakinkan seluruh negara peri pentingnya beban guru ditambah, hari ini beliau pula akan bersetuju untuk memansuhkan beban guru yang beliau sendiri setuju untuk dilaksanakan?” katanya di Facebook.
Sementara itu, Sahul juga menyoal mengapa tiada wakil ‘orang muda’ dalam MPPK.
“Kebanyakannya para pesara dan hampir bersara,” katanya.
Orang muda yang dikatakan Sahul itu merujuk kepada individu yang sudah berkhidmat dalam bidang pendidikan lebih 10 tahun atau ada baki perkhidmatan sekurang-kurangnya lagi 10 tahun.
“Mereka inilah yang tahu dan faham keadaan sebenar di lapangan, dan bisa pula memikirkan cadangan dan solusi yang mereka sendiri inginkan di lapangan,” katanya.
Dalam pada itu, Othman Talib dari Universiti Putra Malaysia berkata latar belakang pendidikan Amin, yang berlegar di dalam negara mungkin membataskan persepsi beliau untuk keluar dari kepompong paradigma yang beliau bawa ketika menjadi orang nombor satu dalam kementerian.