Trak polis membawa mayat mangsa ke hospital untuk proses bedah siasat, sebentar tadi. FOTO ROHANA MOHD. NAWI |
Kota Bharu: Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental maut dipercayai dipukul sekumpulan pelajar tahfiz di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7 malam tadi, lelaki berusia 20-an itu dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum menendang wanita berusia 50-an yang melalui perkarangan masjid itu.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Azam berkata, dia pada awalnya melihat mangsa mengamuk di sekitar surau Pasar Kota Jembal, di sini, ketika waktu Zuhur sebelum datang ke masjid berkenaan.
Katanya, mangsa sempat menunaikan solat Asar bersendirian sebelum keluar dan secara tiba-tiba menendang serta menyepak wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan ketika melalui perkarangan masjid terbabit.
"Melihat kejadian berkenaan, sekumpulan lelaki membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sebelum didapati tidak sedarkan diri.
"Mangsa dilihat mengamuk beberapa jam sebelum kejadian berlaku, namun tiada yang membuat laporan polis kerana tidak menyangka dia akan mencederakan orang awam," katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, di sini, malam tadi.
Tinjauan ke lokasi kejadian malam tadi, mendapati terdapat sekumpulan lelaki dibawa menaiki van oleh pihak polis dipercayai untuk membantu siasatan.
Azam berkata, menurut saksi lain mangsa yang dipercayai berasal daripada Pasir Puteh itu, menunaikan solat Asar dalam keadaan menangis sebelum secara tiba-tiba mengamuk semula di perkarangan masjid itu.
"Selain itu, mangsa baru pertama kali dilihat berada di kawasan ini dan tidak dikenali oleh jemaah atau penduduk setempat.
"Dia juga berpakaian seperti orang biasa namun perlakuannya yang menjerit dan menengking orang ramai menunjukkannya mempunyai masalah mental," katanya.
Setakat ini polis masih belum mengesahkan berkaitan kejadian berkenaan.