FADHLINA Sidek (tengah) pada program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, Pulau Pinang hari ini. |
BUTTERWORTH: Kementerian Pendidikan mengajak mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang menangani masalah keciciran pelajaran dalam kalangan pelajar secara lebih holistik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan mengambil kira setiap pandangan daripada NGO berhubung isu itu selaras dengan teras utama kementerian yang ingin memastikan masalah pelajar tercicir dalam pendidikan di sekolah dapat diatasi segera.
“Kita memang maklum (mengenai maklum balas) daripada semua pihak yang mengadakan kajian mengenai isu keciciran pelajar di kawasan mereka. Justeru, kita mohon pihak terlibat (NGO) rujuk kementerian bersama data hasil kajian (untuk tindakan selanjutnya).
“Dengan ini, kita boleh buat intervensi bersama (NGO) seterusnya melihat sama ada program yang dilakukan kementerian bagi mengatasi keciciran pelajar itu efektif atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini hari ini.
Fadhlina mengulas saranan Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir supaya Kemeterian Pendidikan merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional secara keseluruhannya.