SEREMBAN: Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES) yakin polemik beban tugas guru yang begitu lama dibahaskan akan dapat diselesaikan dengan baik.
Presidennya, Jasni Md Kechik, berkata ia susulan arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang meminta laporan berhubung beban tugas dan kebajikan guru daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan 2023-2025 (MPPK) dikemukakan kepadanya sebelum pertengahan bulan depan.
"Kita menyokong penuh saranan menteri supaya menyediakan laporan beban tugas pada pertengahan bulan Februari depan.
"Dengan laporan berkenaan, saya yakin polemik beban tugas guru yang begitu lama dibahaskan akan dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan perjalanan pendidikan di sekolah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Fadhlina mengarahkan laporan berhubung beban tugas dan kebajikan guru daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan 2023-2025 (MPPK) dikemukakan kepadanya sebelum pertengahan Februari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Jumaat lalu, Fadhlina menegaskan tindakan itu adalah arahan sulungnya kepada MPPK.
Mengulas lanjut, Jasni yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), berkata pihaknya berharap apa juga keputusan dan laporan yang disediakan berasaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan tamat pada 2025.
"Menerusi tindakan itu, sistem pendidikan negara akan terus berkembang maju dan impaknya kepada pelajar di sekolah yang akan mendapat hak mereka sewajarnya untuk membina masa depan yang gemilang," katanya.
Dalam pada itu, Jasni berkata, kesatuan itu memberikan sokongan penuh pelantikan Datuk Dr Amin Senin sebagai Pengerusi MPPK yang baharu bagi sesi 2023-2025.
Beliau berkata, pihaknya yakin Dr Amin akan dapat menjalankan amanah yang diberikan berdasarkan pengalaman luas sebagai guru dan pentadbir pendidikan di negara ini.
"Saya yakin beliau (Dr Amin) serta ahli MPPK akan dapat memberi nasihat dan pandangan bagi menambahbaikan yang tepat terhadap sistem pendidikan negara ini kepada pihak kerajaan demi kelestarian sistem pendidikan.
"Saya juga yakin ahli MPPK akan meneliti, mendengar serta mengambil kira semua pandangan khalayak dan menyesuaikan semua pandangan itu mengikut latar belakang negara ini terutamanya masyarakat dan budaya ke arah Malaysia Madani," katanya.