Henti beri amaran kepada guru - Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA: “Saya mohon dihentikan budaya ini dengan kadar segera,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi mengulas tindakan pegawai atasan yang memberi amaran kepada seorang guru pendidikan khas di sebuah sekolah di Kajang yang mengkritik Kementerian Pendidikan (KPM) secara terbuka di Facebook, baru-baru ini. 

Fadhlina menerusi hantaran di Facebook berkata, pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan. 

“Guru pendidikan khas adalah barisan hadapan saya dalam membangun konsep madani dalam pendidikan khas. 

“Kebimbangan beliau adalah kebimbangan saya. Ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang mengikut saluran, adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid,” katanya. 

Katanya, guru juga adalah sebahagian tonggak profesionalisme yang turut memandu penjawat awam di negara ini. 

Sebelum ini, seorang guru pendidikan khas dilaporkan berkongsi mesej terbuka dan pandangan peribadinya di Facebook mengenai keluhan dihadapi guru yang mengajar Murid Berkeperluan Khas (MBK). 

Hantaran guru itu ditujukan khas buat KPM empat hari lalu, malah turut memetik nama (tag) akaun Facebook Menteri Pendidikan itu. 

Menerusi mesej terbuka itu, guru berkenaan mahu Menteri Pendidikan dan KPM mengutamakan kepentingan dan kebajikan guru serta murid ketika memutuskan apa-apa dasar utama pendidikan. 

Malah, beberapa isu lain turut dibangkitkan guru itu termasuk keperluan dan persediaan menghadapi peningkatan jumlah murid MBK setiap tahun, masalah ruang kelas sempit serta keperluan kelas baharu. 

Guru sama turut berkongsi ada juga kes di mana Guru Besar tidak mahu membuka kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah mereka. 

Selain itu, guru itu juga mahu Menteri Pendidikan turut mengambil kira suara guru-guru pendidikan khas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di luar KPM dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pegawai-pegawai di KPM untuk membuat keputusan. – UTUSAN
Previous Post Next Post