Kumpulan muzik sekolah itu yang menampilkan pemain seruling dan melodika mempersembahkan Amazing Grace sebagai penghormatan kepada guru mereka yang berusia 36 tahun Lim Wen Xin.- NSTP/Dawn Chan |
Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) sudah mengenal pasti calon untuk menggantikan enam guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, yang me- ninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhe- mahan Father's Organic Farm, di Batang Kali.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPWPKL, Abdul Aziz Md Hashim, berkata semua guru terbabit sudah dihubungi dan diminta untuk bersiap sedia memulakan tugas di sekolah terbabit.
Katanya, semua enam pengganti itu adalah guru baharu dan akan memulakan sesi persekolahan bagi 2023.
"Mereka dihubungi secara individu dan belum melaporkan diri secara fizikal lagi.
"Namun, mereka sudah tahu peranan masing-masing sebagai bakal pendidik dan bersedia untuk berkhidmat. Jadi, sesi persekolahan SJKC Mun Choong akan bermula seperti biasa pada 3 Januari depan," katanya ketika ditemui pada majlis memperingati mangsa tragedi itu, semalam.
Abdul Aziz berkata walaupun SJKC Mun Choong berdepan kehilangan ramai guru, ia tidak akan menjejaskan tugasan bagi sesi persekolahan baharu murid yang masih sukar menerima kehilangan berkenaan.
"Adalah penting untuk menaikkan semangat semua pihak supaya mereka ini boleh 'move on' daripada tragedi ini walaupun ia sangat menyedihkan kita.
"Kita mahu bina semula keyakinan semua warga sekolah ini dan pasukan kaunseling yang dihantar Kementerian Pendidikan akan ada membantu," katanya.