Jenazah lelaki yang maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah masjid di Pulau Melaka, Kota Bharu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changgai, Pasir Puteh pada pagi Isnin. |
PASIR PUTEH - "Anak saya bukan tidak siuman, cuma pada hari kejadian emosinya tidak stabil," demikian luahan ibu kepada lelaki yang maut dipercayai dipukul di sebuah masjid, Pulau Melaka, Kota Bharu pada Ahad.
Bagaimanapun wanita yang enggan dikenali itu memberitahu, keluarganya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit.
Dia berkata, anak lelakinya yang berusia 28 tahun itu sering ke masjid berkenaan untuk menimba ilmu.
Ujarnya, anak ketiga daripada lima beradik itu juga sudah setahun lebih tidak bekerja
"Sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor.
"Dia jarang keluar dan banyak menghabiskan masanya di rumah sambil menjaga neneknya yang sudah berusia 101 tahun kerana saya serta suami berniaga," katanya ketika ditemui di Kampung Changgai di sini pada Isnin.
Menurutnya, sehari sebelum kejadian arwah keluar dari rumah dalam keadaan emosi sudah tidak stabil, sehinggalah pada sebelah petang dia mendapat makluman daripada pihak polis mengatakan anaknya sudah meninggal dunia.
Dia memberitahu terkejut dengan berita tersebut, namun reda dengan ketentuan Ilahi.
"Anak saya selamat dikebumikan pada jam 10.30 pagi tadi (Isnin) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changgai," katanya.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seorang lelaki kurang siuman maut dipercayai dipukul oleh sekumpulan pelajar tahfiz di sebuah masjid di Pulau Melaka di sini pada Ahad.
Seorang tenaga pengajar yang enggan dikenali berkata, kejadian tersebut berlaku apabila lelaki berkenaan telah bertindak mengamuk dan kemudian membakar jubah milik pelajar serta mengganggu mereka.
"Pada masa yang sama lelaki itu telah bertindak memukul seorang tukang masak wanita berusia 60-an yang kebetulan melalui kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.