Imej hiasan |
Isu guru mengajar subjek bukan opsyen boleh dianggap rahsia umum. Walaupun peratusnya tidak tinggi namun ia memberi kesan besar kepada murid dan sesetengah sekolah apabila kelas berkaitan terpaksa ditutup. Malah bagi pihak guru pula ada kala mereka terpaksa melupakan opsyen asal mereka selepas beberapa tahun herkhidmat. Antara mata pelajaran berdepan masalah kekurangan guru yang tinggi membabitkan peringkat sekolah rendah adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Bagi peringkat sekolah menengah pula ia membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Kesusasteraan Melayu serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Antara faktor yang sering dikaitkan dengan situasi ini termasuklah kekurangan calon guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidakpadanan opsyen mata pelajaran tertentu dengan kekosongan semasa. Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini sudah mengambil pendekatan dalam pengambilan guru berdasarkan kluster opsyen mata pelajaran selain menerapkan kepelbagaian dalam kaedah pelantikan.
Namun sehingga kini, isu guru bukan opsyen mengajar subjek yang tidak dikuasainya masih juga berlaku.
Lupa opsyen asal
Bagi Nazimah Yusof, 43, sebagai pendidik yang mengajar bukan opsyen asal selama 19 tahun, dia memahami situasi kepayahan guru yang perlu menghadapinya. Katanya, pada peringkat awal kerjayanya, beliau berasa sangat kecewa namun keinginan yang tinggi untuk menjadi pendidik mendorong dirinya untuk meneruskan kerjaya itu.
"Opsyen saya adalah Pengurusan Perniagaan tetapi perlu mengajar Bahasa Melayu di sekolah menengah.
"Bayangkan daripada Pengurusan Perniagaan ke Bahasa Melayu, bukanlah mudah bagi saya. Saya kecewa dan terkilan sangat kerana skop subjek itu amat luas tetapi kini sudah 19 tahun berkhidmat saya sudah dapat menanganinya dengan baik,"katanya.
Bagi Noor Hanishah Hanipah, 44. tidak mudah untuk mengajar subjek bukan opsyen terutama kepada pelajar sekolah menengah, namun beliau tidak ada pilihan lain.
"Saya juga antara yang rasa terbeban pada awalnya apabila menerima keputusan pertu mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah sedangkan opsyen asal adalah Perdagangan.
"Jujurnya saya sendiri rasa apa yang disampaikan serba kekurangan selain tidak semua topik dikuasai.
"Namu saya anggap ia sebagai cabaran untuk diri sendiri, jadi saya ambil inisiatif untuk sentiasa belajar, membaca dan menelaah subjek yang ingin diajar sebelum masuk kelas," katanya.
Ditanya sama ada masih berharap untuk mengajar opsyen asal jika diberi kesempatan, beliau yang berkhidmat selama sembilan tahun di Bangi, berkata dia sudah lama meninggalkan subjek opsyen jadi tidak terlalu berharap sebaliknya lebih fokus untuk memperbaiki mutu pengajaran subjek yang diajar kini.
Bagi guru muda yang mahu dikenali sebagai Fatin, 29, cabaran terpaksa mengajar bukan opsyen memberi tekanan dan menjadikannya kurang bersemangat dalam tugas. Namun seperti mana guru lain, tidak mempunyai pilihan memandangkan mendapat peluang berkhidmat sebagai guru bukanlah mudah.
Beliau yang sepatutnya mengajar Fizik dan Matematik bagaimanapun ditugaskan mengajar subjek Sains sekolah menengah.
"Walaupun bernasib baik kerana masih mengajar bidang Sains namun ia agak berlainan untuk mengajarnya memandangkan saya mempersiapkan diri mengajar Fizik.
"Rasa sedih juga tapi saya tiada pilihan. Saya belajar memperbaiki diri dan meningkatkan pengetahuan. Namun rasa kecewa sedikit terubat apabila menerima nasihat dan dorongan guru lebih berpengalaman. Mereka banyak memberi semangat," katanya yang masih berharap dapat mengajar subjek Fizik dan Matematik semula.
Sementara itu, Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nurul Hasyimah Mat Rani, berkata apabila guru bukan opsyen dipertanggungjawabkan untuk mengajar subjek lain berlaku banyak implikasi.
Menambah tekanan guru
Antaranya dari segi kompetensi guru serta kualiti pengajaran khususnya bagi bidang memerlukan kecekapan khusus seperti opsyen Pendidikan Muzik, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Khas.
Katanya, guru yang baru dilantik dan mendapat penempatan memerlukan pelbagai penyesuaian untuk bekerja di persekitaran sebenar.
"Tugasan untuk mengajar bukan opsyen menambah beban mereka dalam pergelutan sedia ada menyesuaikan diri di sekolah.
"Banyak yang perlu mereka pelajari tetapi kini sudah berada di persekitaran kerjaya sebenar, bukan lagi di universiti sebagai guru pelatih sebaliknya sudah bergelar pegawai perkhidmatan pendidikan," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini sudah terdapat beberapa kajian akademik yang menyentuh mengenai kualiti dan kompetensi guru bukan opsyen.
Antara dapatan kajian itu termasuklah la menjadi faktor masalah tekanan, meningkatkan beban kerja, mengurangkan kepuasan kerja guru serta kemerosotan aspek kesihatan mental guru.
"Keadaan ini menyebabkan emosi guru turut tercalar kerana perlu memenuhi tuntutan subjek yang berhadapan masalah tiada tenaga pengajar.
"Justeru, bagi guru yang diberi tanggungjawab untuk mengajar bukan opsyen, mereka perlu meningkatkan kecerdasan emosi bagi membantu diri sendiri menghindari tertekan dan seterusnya mengawal kesihatan mental.
"Pastinya pengawalan itu dapat membantu guru mendapat kepuasan kerja yang baik," katanya. Nurul Hasyimah berkata, amat penting sebagai guru bukan opsyen. untuk mengutamakan kecerdasan emosi dengan mengawal cabaran yang ada setelah dipertanggungjawabkan menga jar subjek bukan pilihan.
"Guru perlu sentiasa sedar dengan emosi mereka sendiri supaya dapat menguruskan te kanan dengan baik apatah lagi dengan beban kerja guru yang banyak.
"Pastinya lagi, dalam hal ini yang amat penting adalah sistem sokongan kuat antara semua guru. Menerusi kaedah ini mereka dapat saling membantu dalam pelbagai aspek khususnya aspek pengajaran, perkongsian pengalaman, motivasi diri serta penyelesaian masalah yang dihadapi." katanya.
Sumber: Berita Harian | Nas Norziela Nasbah