Datuk Mohamad Ali Hasan |
PETALING JAYA: Penggal baharu sesi persekolahan bermula Januari dilihat membebankan ibu bapa selepas perlu menanggung banyak perbelanjaan pada hujung tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, ini kerana ibu bapa terbeban dengan persiapan perayaan pada hujung tahun selain berdepan musim tengkujuh yang berlarutan sehingga Januari.
Sehubungan itu, katanya, banyak aspek perlu diambil kira sebelum tarikh kemasukan persekolahan itu ditukar semula seperti mana kebiasaan sebelum ini.
“Jika bermula Januari, banyak kos-kos yang dibiayai dan ditanggung oleh keluarga dan ibu bapa. Kita melihat misalnya banyak persiapan (ditanggung) untuk perayaan hujung tahun, jadi perbelanjaan sudah habis akhir tahun, maka membelanjakan lagi untuk Januari (bagi persiapan persekolahan) agak perit sedikit.
“Kemudian, fenomena alam sekitar yang ketika ini tidak menentu, berlaku pada Disember, tetapi mungkin boleh berlarutan sehingga Januari.
“Malah, PIBGN juga khuatir bagaimana mahu memastikan tempoh pembelajaran itu mencukupi sekiranya bermula pada Januari, waktu tempoh penggal mungkin tak mencukupi, jadi tidak ada penerusan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kerajaan diminta mengembalikan semula tarikh kemasukan penggal baharu persekolahan kepada Januari berbanding Mac sekarang.
Ini kerana ramai keliru dengan tarikh kemasukan penggal baharu se lain kemasukan pada Mac dilihat mengganggu kelancaran sistem persekolahan kerana ia bukan bermula pada awal tahun.
Cadangan itu turut dipersetujui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) walaupun mengakui ia tidak boleh dilaksanakan tahun depan.
Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, PIBGN setakat ini tidak mendengar sebarang rungutan berhubung permintaan pertukaran semula takwim persekolahan itu.
“Buat masa ini, ibu bapa tidak ada masalah kalau bermula pada Mac, kalau ada rungutan pun hanya disebabkan kebiasaan.
“Tetapi kebiasaan itu perlu kita fikirkan beban ibu bapa di hujung tahun yang perlu menghadapi pelbagai persiapan, perayaan, masalah alam sekitar dan kegiatan lain di awal tahun,” katanya. -UTUSAN