Nibong Tebal: Sesi persekolahan bulan depan mungkin ditangguhkan bagi negeri yang masih belum pulih daripada banjir.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan menerusi perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
"Bagi negeri yang tidak terlibat banjir, sesi persekolahan bermula seperti biasa tetapi bagi negeri yang banjir masih berlarutan dan tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan, kita akan bincang dengan Nadma.
"Kita ikut nasihat daripada Nadma berkaitan sama ada terdapat pelan alternatif atau bergantung kepada keadaan semasa (berhubung pembukaan sekolah di negeri terjejas banjir) nanti.
"Ketika ini, kita sudah banyak melakukan perbincangan dengan Nadma berkaitan sekolah yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara (PPS), selain terdapat bilik gerakan bencana KPM yang memantau setiap hari bilangan pertambahan PPS," katanya yang ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal di sini, hari ini.
Menurutnya, sejumlah 322 sekolah dijadikan PPS di seluruh negara, yang mana 173 PPS sudah ditutup, manakala 149 PPS masih beroperasi.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kementerian memperuntukkan RM50 juta untuk penyelenggaraan sekolah yang terjejas dengan banjir.
Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan sebaik menerima laporan kerosakan sekolah daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Setakat ini banyak sekolah terjejas khususnya di Terengganu dan Kelantan.
"Kita sudah arahkan JPN dan PPD untuk bersedia, memantau sekolah yang terkesan supaya kita boleh segerakan bantuan penyelenggaraan sekolah ini," katanya.
Secara keseluruhan, terdapat 287 sekolah yang terkesan dengan banjir, dengan 205 sudah pulih, manakala 82 sekolah lagi masih ditenggelami air.