Imej hiasan |
SAUDARA PENGARANG,
DIHARAPKAN Meteri Pendidikan yang baharu, Fadhlina Sidek dapat meneruskan kesinambungan dasar terdahulu dengan melakukan beberapa penambahbaikan untuk mengatasi segala kelemahan yang ada.
Antaranya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Jangan ia mengalami nasib seperti beberapa dasar terdahulu yang dihentikan kerana faktor politik walaupun polisi berkenaan amat baik dan bermanfaat kepada rakyat terutama golongan marhaen.
Contohnya, Klinik 1Malaysia untuk rawatan pesakit luar yang hanya mengenakan bayaran sebanyak RM1 tetapi tidak diteruskan akibat pertukaran kerajaan.
Sebarang isu perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin. Daripada pemerhatian saya, terdapat tidak kurang 10 isu yang perlu ditangani oleh kementerian itu.
Kebanyakannya adalah isu lama dan lapuk seperti soal sekolah daif, kepadatan murid dan kekurangan sekolah, beg berat, beban tugas guru dan kekurangan guru dalam mata pelajaran penting.
Bagi saya, isu boleh diselesaikan jika jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah dapat duduk semeja bagi membincangkan cara menangani perkara berbangkit.
Jika ada kerjasama pemegang taruh dalam bidang pendidikan ini, sebarang kepincangan dan kekurangan boleh diperbaiki bukan membiarkan tanpa dipulihkan.
Selain itu, segala dasar dan permasalahan dalam pendidikan hendaklah dibincang bersama dengan persatuan pendidik seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar mereka dapat memberikan pandangan dan teguran membina.
Selain itu, Menteri Pendidikan digesa tidak melibatkan fahaman politik sempit dalam pendidikan. Bidang pendidikan sepatutnya menjadi alat penyatuan antara kaum dengan memperkenalkan semula konsep Sekolah Wawasan.
Konsep itu yang diluluskan Kabinet pada 1997 menggabungkan tiga sekolah berlainan aliran dalam satu kompleks yang mana murid berkongsi menggunakan kemudahan seperti padang dan kantin.
PENDUDUK PEKA Pahang