PETALING JAYA: Kerajaa di minta mengembalikan semula tarikh kemasukan penggal baharu persekolahan kepada Januari berbanding Mac sekarang.
Ini kerana ramai keliru dengan tarikh kemasukan peng- gal baharu selain kemasukan pada Mac dilihat mengganggu kelancaran sistem persekolahan kerana ia bukan bermula pada awal tahun.
Selain itu, situasi Covid-19 yang menjadi antara punca sesi persekolahan dilewatkan sudah berubah apabila negara memasuki fasa endemik 1 April lalu. Cadangan itu turut dipersetujui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) walaupun mengakui ia tidak boleh dilaksanakan tahun depan.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, adalah tidak logik untuk mengembalikan sesi persekolahan baharu ke Janua- ri tahun depan kerana ia agak terlambat selain banyak perkara atau hal persekolahan yang tertangguh.
Katanya, bagi tahun 2024 juga agak tidak bersesuaian kerana tidak akan sempat dari segi pengoperasian dan ini akan menjadi isu kepada guru-guru akibat terpaksa menghabiskan silibus dengan cepat.
"Keputusan ini tidak boleh dilakukan secara mengejut kerana ramai pihak yang terlibat dan memerlukan perbincangan supaya semua pihak tidak terjejas dengannya.
"Saya percaya dalam masa tiga hingga empat tahun, Kementerian Pendidikan akan berusaha untuk mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari seperti sebelum pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. Beliau diminta mengulas mengenai kewajaran Kementerian Pendidikan mengembalikan sesi persekolahan baharu pada bulan Januari berbanding Mac pada waktu ini.
Kementerian Pendidikan menetapkan sesi akademik persekolahan tahun 2023 dan 2024 bermula Mac kerana mahu memberi ruang yang cukup kepada murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selepas tertang- guh ekoran penularan Covid-19. Aminuddin berkata, beliau berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan menambah baik takwim persekolahan dengan meneliti bilangan cuti yang bersesuaian terutamanya bagi semua perayaan yang disambut di Malaysia.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (Guru), Mohd Azizee Hasan turut sependapat sesi persekolahan harus dikembalikan kepada Januari tetapi dilaksanakan dengan mendapat pendapat orang ramai.
"Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek harus mendapatkan pandangan persatuan-persatuan guru, ibu bapa, guru-guru serta pelajar bagi melihat kebaikan dan keburukan sesi persekolahan Januari atau Mac.
"Disarankan kementerian memendekkan cuti persekolahan dalam 10 hari supaya dalam masa beberapa tahun ini, kita dapat kembali kepada biasa tanpa mengganggu sesi pembelajaran pelajar ke Mac adalah disebabkan pandemik Covid-19 tetapi sekarang hampir semua perkara sudah kembali seperti biasa jadi ini harus dilakukan juga," katanya.
Azizee berkata, diharapkan juga menteri baharu ini menekankan model baharu pendidikan iaitu pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat persekolahan lagi.
"Dalam masa yang sama, jurang pendidikan di antara sekolah bandar dan luar bandar harus dirapatkan dari segi infrastruktur digital mahupun fizikal.
"Pada masa akan datang, tahap pendidikan Malaysia harus setaraf dengan negara-negara maju lain supaya pelajar mampu berdepan tidak kira apa sahaja cabaran," ujarnya.
Kali terakhir sesi persekolahan baharu diubah secara drastik adalah pada 1991 apabila ia diawalkan daripada Januari ke Disember bagi mengelak tarikh peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bertembung banjir besar yang biasa melanda Pantai Timur pada November dan Disember.
Perubahan itu dilakukan selepas peperiksaan SPM dan STPM 1988 terpaksa ditangguhkan beberapa minggu berikutan banjir besar di Kelantan. Bagaimanapun, pada 1996, permulaan sesi persekolahan baharu dikembalikan kepada asal iaitu bermula Januari selepas mendapat bantahan pelbagai pihak kerana permulaan sesi persekolahan pada Disember dikatakan mengganggu perancangan keluarga untuk bercuti.
Sumber: Utusan