NUTP gesa menteri baharu teruskan dasar baik sektor pendidikan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mahu Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu dilantik untuk mempertingkatkan kemajuan dan memperbaiki sistem pendidikan dengan memperkenalkan dasar-dasar yang progresif.

Menurut Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon dalam satu kenyataan hari ini, NUTP berharap Menteri Pendidikan Fadhliana Sidek dapat memberikan lebih autonomi kepada akar umbi dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran serta peka akan permasalahan yang sudah lama dihadapi dunia pendidikan negara.

"Menteri Pendidikan haruslah meneliti cadangan dan pandangan yang diutarakan sesiapa sahaja sebelum membuat sebarang keputusan.

Cadangan dan pandangan akar umbi sebahagiannya dapat membantu dan memperbaiki sistem pendidikan," menurutnya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, menurutnya NUTP berpendapat pengasingan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah wajar supaya kedua-dua kementerian itu dapat lebih fokus dalam melaksanakan fungsi masing-masing.

Menurutnya, NUTP berharap dua kementerian itu dapat meneliti semula dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang tidak disentuh sepanjang pentadbiran menteri yang lepas.

"Pembinaan generasi Malaysia masa hadapan amat bergantung kepada dasar yang dibuat oleh kementerian-kementerian ini kelak," menurutnya dalam kenyataan itu.

Selain itu, Fouzi berkata kedua-dua tokoh yang dipilih untuk menerajui kementerian berkaitan pendidikan negara itu dapat memberikan kerjasama yang baik dengan kesatuan guru dan mendengar suara mereka melalui sesi libat urus.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Fadhlina dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik untuk menerajui KPT.

Mereka berdua adalah sebahagian daripada 28 menteri Kabinet yang bakal mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.

Previous Post Next Post