PETALING JAYA: Seorang murid lelaki mendakwa cedera dipukul senior di sebuah sekolah asrama di Bentong, Pahang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa berusia 16 tahun itu mengadu sakit di bahagian perut dan kencing berdarah kira-kira 10 pagi semalam.
Susulan itu, katanya, bapa mangsa membawanya ke Hospital Bentong dan hasil pemeriksaan, pihak hospital mengesyaki remaja itu dipukul.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dipukul murid lelaki berusia 17 tahun ketika sedang tidur dalam asrama.
“Mangsa dipukul di bahagian badan dan kaki, sebelum bapanya membawa remaja terbabit ke Balai Polis Bentong untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Zaiham berkata, polis sudah berhubung dengan sekolah itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.