Imej hiasan |
JIKA ada satu-satu sebab utama megapa kerajaan hari ini wajar mendapat sokongan adalah kerana kelesuan para menteri membawa hal ehwal pendidikan dalam mengemudi sektor tersebut sepertimana dikehendaki secara mendalam oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996.
Sayugia diingatkan bahawa FPK termaktub dalam Akta Pendidikan sebagai salah satu asas penting untuk menyempurnakan masa hadapan rakyat dan negara. Maka ia tidak boleh diambil enteng sahaja mengikut selera masing-masing. Apalagi amanah seseorang menteri. FPK juga merupakan teras kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi kedua-dua sektor pendidikan tersebut sehingga 2025.
Maka kefahaman mendalam amat kritikal untuk menentukan kelangsungan pelan berkenaan khususnya yang tersirat. Tambahan pula FPK merupakan kerangka teras tindakan kepada kelima-lima prinsip Rukun Negara. Tanpa FPK, pengisian Rukun Negara menjadi longgar serta boleh ditakrif sewenang-wenangnya. Sekali gus tidak membawa kepada perpaduan negara seperti yang terjadi selama ini.
Ertinya, perpaduan sejati bermula dengan pendidikan bertunjangkan falsafah yang betul dalam konteks dan acuan negara bangsa sendiri seperti terdapat dalam PPPM. Ini adalah persoalan pokok yang perlu disempurnakan dengan sebaik mungkin agar maruah diri terpelihara. Hatta keluarga, masyarakat serta negara turut terdidik selanjutnya. Oleh itu, selok- belok FPK perlu dihadami terlebih dahulu sebagai inti pati hikmah hidup beramanah lagi berdaulat.
Ini memandangkan setiap prinsip FPK membolehkan setiap warga dimanusiawikan sebagai insan sejahtera dan bukan modal insan seperti sekian lama. Lantas, mampu memakmur serta mensejahterakan diri, keluarga, negara sehingga seantero mengikut lunas FPK umpama neraca keramat.
Dengan sedemikian apa yang dicita-cita perlu memupuk budaya kesederhaaan tanpa melampaui batasan dari pelbagai sudut-kaum, agama serta cara hidup beramanah seiring seorang yang benar- benar berpendidikan seimbang. Bukan sekadar menghitung, membaca dan menulis (3M) tanpa pasak FPK.
Malahan melebihi itu, pintar pula berbudi serta beradab bagaimana sekolah pada suatu ketika dahulu disanjungi ramai. Tidak langsung dicurigai. Mengikut titah Sultan Perak baru-baru ini, pendidikan moden umumnya gagal mensebatikan nilai moral serta akhlak dalam kerangka kerja untuk menzahirkan seorang yang beriltizam sehingga kalis rasuah dan segala macam maksiat. Apatah lagi sebagai seorang pemimpin insan sejahtera. Bukan insan yang dipermodalkan, condong pada aspek ekonomi dan prasana luaran semata-mata. Dan kosong hati budinya.
TERCALAR
Malah tuntutan kedua-dua akal serta hati budi tercalar berpandukan lensa FPK. Sepatutnya dinyahkan sahaja agar tidak menjadi setitik nila yang merosak susu sebelanga bak pesanan orang tua-tua. Diimbau pula kata-kata Ketua Pengarah (Kementerian Pendidikan) yang menekankan peri pentingnya perubahan bersifat dinamik lagi progresif tanpa melayan karenah yang mencetus angkara nila setitik tadi.
Sedangkan imej pendidikan. semestinya sentiasa segar dan bersih sebagai agen perubahan dan pemangkin masa hadapan yang cekal dan berani. Bersendikan jiwa sanubari yang suci murni serba serbi. Kita terkenang episod Cikgu Fadli yang menyedarkan betapa pentingnya tanggungjawab tegur-menegur tanpa mengira pangkat serta kedudukan asalkan sahaja tatasusila dihormati.
Seharusnya ini mewarnakan hari muka pendidikan berkualiti tinggi yang gilang-gemilang dan bertanggungjawab. Kesudahannya, kita perlu sorot ke pangkal jalan, selepas sesat agak lama, dalam memanfaatkan makna pendidikan yang sebenar. Yakni mengimbangi aspek penyaraan kehidupan dengan mendalami kehidupan itu sendiri.
Sebelum Covid-19 melanda penyaraan kehidupan ditekankan sebagai matlamat utama pendidikan sehingga kehidupan tersasar jauh tatkala Covid-19 menyanggah. Ramai terkandas dan merana jiwa raga tidak kira berapa banyak wang dan harta benda terkumpul. Pendidikan telah diekonomikan untuk modal insan menghindari insan sejahtera. Maka aspek kemanusiaan dikesampingkan sehingga tenggelam punca hidup sejati. Masyarakat mejadi kucar-kacir akibat kemelut kendiri.
Oleh itu, amat penting dalam fasa pasca-Covid-19 dijadikan peluang bagi memanusiawikan semula manusia serta mencari imbangan yang telah lama musnah menghadapi cabaran hari muka. Lantas, pembentukan dan asuhan, mahu atau tidak, memerlukan semula FPK yang lengkap dengan formula khas acuan Malaysia. Resepinya sudah pun ada.
Ramuannya pula sudah lama tersedia. Matlamatnya sudah jelas sebagai hidangan bagi semua rakyat untuk mengikat perpaduan melalui kemakmuran bersama tanpa kerakusan apa sahaja. Pihak yang bertanggungjawab turut mengungkapkan hasrat masing-masing dalam konteks FPK yang terjelma dewasa Perdana Menteri ke-10 memegang urusan pendidikan hampir empat dekad lalu.
Maka sampailah sudah masanya agar sirih (simbol kesopanan dan kelembutan) dipulangkan ke gagang bagi segera menunaikan amanah yang lama terabai.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)