Yusran Shah (tiga dari kiri) memperkenalkan pegawai kanan Kementerian Pendidikan kepada Fadhlina (dua dari kiri). |
PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan yang baharu dilantik, Fadhlina Sidek memulakan tugasnya secara rasmi di kementerian pada Isnin.
Beliau yang tiba pada jam 8.55 pagi, disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.
Anggun berbaju kurung biru dan bertudung merah jambu, Fadhlina sempat menyapa media yang hadir dengan ucapan terima kasih kerana sudi membuat liputan hari pertamanya di Kementerian Pendidikan.
Fadhlina kemudiannya mengimbas kad perakam waktu pada jam 9 pagi, sebelum mengikuti taklimat oleh pegawai kementerian.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu merupakan antara lima wanita yang dilantik sebagai menteri kabinet, selain Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Azalina Othman (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan dan muka baharu, Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan.
Pelantikannya sebagai Menteri Pendidikan merupakan antara lantikan bersejarah kerana menjadi wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu.
Beberapa bekas Perdana Menteri pernah menjadi Menteri Pendidikan, antaranya Tun Abdul Razak Datuk Hussein (1955-1957), Tun Hussein Onn (1970-1973), Tun Dr Mahathir Mohammad (1974-1978), Tun Abdullah Ahmad Badawi (1984-1986), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-1991), Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (1995-1999) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2009-2015).
Fadhlina mengimbas kad perakam waktu, sambil diperhatikan Yusran Shah (dua dari kiri) dan Pkharuddin (kiri). |
Kementerian Pendidikan sentiasa menjadi tumpuan dalam pelantikan baharu kabinet memandangkan pendidikan memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan dan pembangunan negara.
Kementerian Pendidikan yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pelajaran ialah sebuah kementerian yang dekat di hati para wanita.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusia 45 tahun dan merupakan bekas ahli Dewan Negara dari 2021 hingga November 2022.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) serta Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pernah berkhidmat sebagai peguam syarie dan memiliki firma guaman, Fadhlina Siddiq & Associates, Fadhlina juga dikenali sebagai antara individu yang lantang memperjuangkan isu wanita dan kanak-kanak termasuk undang-undang anti gangguan seksual serta menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.