Menteri Pendidikan yang baharu, YB Fadhlina Sidek disifatkan sebagai seorang yang garang. Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang penulis tersohor Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam satu hantaran di Facebook beliau.
“Kak Fadhlina Sidek ni garang. Beliau tidak garang kepada kanak-kanak. Tak percaya tanya anak-anak beliau.
"Tetapi beliau garang kepada orang dewasa yang degil, tak dengar cakap, merepek, berdebat tanpa hujah... ini semua calon mangsa kegarangan beliau," katanya.
Beliau berkata golongan yang melakukan penyelewengan di dalam KPM, JPN, PPD sepatutnya gentar dan berhati-hati dengan ketegasan beliau.
"Hotel-hotel jangan mengada-ngada nak buka meja kalau ada ahli politik melangkah nak bermesyuarat. Buat kerja," katanya lagi.
Hasrizal berpesan jawatan dalam politik dan kementerian banyak mengubah perangai orang, tidak kiralah mereka dahulunya menerima tarbiah badan dakwah yang macam mana sekali pun.
"Sampai hilang semangat islah yang dilaungkan sebelum berjawatan.
"Saya yakin Kak Fadhlina tidak begitu.
"Saya yakin sebab saya sama sekolah dengan almarhum ayahanda akak yang pasti amat berbangga dengan perlantikan ini," katanya lagi.
Namun, ia tetap sebuah amanah, jauh lebih besar daripada soal kemegahan dan kebanggaan.
Beliau berdoa kepada Allah agar YB Fadhlina Sidek dilindungi dan sentiasa beroleh petunjuk dalam tugasan yang maha berat ini.