Nibog Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan isu berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang sebelum ini dimansuhkan, selain berkaitan kalendar akademik persekolahan pada sidang media khas minggu depan.
Justeru, Menterinya, Fadhlina Sidek memohon semua pihak bersabar dan menunggu sidang media khas itu yang mana pihaknya akan menyentuh beberapa isu dibangkitkan, selain memperincikan hala tuju pendidikan negara serta pendekatan akan diambil kementerian bagi menangani isu berkaitan pendidikan.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas sama ada KPM berhasrat untuk mengembalikan semula UPSR dan PT3 yang dimansuhkan sebelum ini seperti diminta segelintir ibu bapa.
"Ibu bapa boleh nantikan isu (UPSR, PT3), selain perkara yang berkait rapat dengan pemegang taruh serta aspek konsultasi.
"Saya ambil kira semua pandangan, kritikan dan harapan ibu bapa termasuk semua pemegang taruh dalam isu berkaitan pendidikan ini," katanya ketika menghadiri Majlis Kenduri Rakyat anjuran Parlimen Nibong Tebal, di pekarangan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi, di sini semalam.
Sebelum ini, segelintir ibu bapa melalui beberapa hantaran di media sosial meminta Menteri Pendidikan yang baharu dilantik supaya mengembalikan semula UPSR dan PT3 yang masing-masing dimansuhkan pada April dan Jun lalu.
Alasan diberikan kerana bimbang dengan risiko anak tergolong dalam kalangan lost generation atau generasi yang hilang selepas dua peperiksaan utama itu dimansuhkan.
Perkasa kementerian
Sementara itu, Fadhlina mengakui beliau masih dalam proses mengambil pandangan, mendengar kritikan dan menjalankan konsultasi bersama pelbagai pihak serta pemegang taruh sebelum mengambil sebarang langkah untuk memperkasakan kementerian yang dinaunginya.
Beliau berkata, KPM antara kementerian terbesar dan ia memerlukan beliau turun berjumpa pelbagai pihak antaranya guru, ibu bapa serta pelajar termasuk pemegang taruh dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.