Isma minta kerajaan tolak tuntutan Dong Zong

Mohd Noor Azib Asmangi, Naib Presiden ISMA

SHAH ALAM - Ikatan Muslim Malaysia (Isma) meminta kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak melayan tuntutan dibuat Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Ia berkaitan dengan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC).

Naib Presiden Isma, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, langkah mengiktiraf sijil berkenaan bakal mewujudkan dua sistem atau dasar pendidikan di dalam negara.

Tambah beliau, perkembangan itu tidak selari dengan semangat perpaduan yang menjadikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai teras negara.

“Isma sejak dahulu sehingga hari ini konsisten menolak pengiktirafan UEC tidak kira parti mana yang memerintah.

“Tindakan Dong Zong yang begitu cepat mendesak pengiktirafan UEC kerana ingin mengambil peluang dari manifesto Pakatan Harapan (PH) dan juga sikap keterbukaan Perdana Menteri dalam mendengar semua pandangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan Dong Zong akan bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dong Zong, Leong Seng Yee, pihaknya akan meminta kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana sijil tersebut sudah diterima di universiti swasta dan luar negara.

Previous Post Next Post