Imej hiasan |
Pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tersasar daripada matlamatnya yang sebenar menjadi punca mengapa sistem peperiksaan dimansuhkan. Bagaimanapun, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang menggantikannya pula dianggap tidak kena pada masanya
Dalam hal ini Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata UPSR pada peringkat awal diwujudkan sebagai ujian pengesanan untuk melihat sejauh mana murid menguasal 3M (membaca, mengeja dan mengira).
Bagaimanapun katanya, secara perlahan-lahan UPSR berubah menjadi peperiksaan yang membandingkan kehebatan murid-murid, sekolah dan negeri. Faktor inilah yang menjadi punca sebenar mengapa matlamat pelaksanaan peperiksaan tidak berjaya.
"Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mewujudkan sebuah sistem ujian pencapaian bagi menilai penguasaan murid terhadap 3M.
"Jika UPSR dikembalikan seperti dahulu, dikhuatiri ia akan memberi tekanan kepada murid-murid dan ia tidak sepatutnya berlaku di peringkat awal pendidikan," katanya.
Tambah Anuar, UPSR dibuat dengan kaedah murid diberi tekanan dan harapan supaya meraih keputusan cemerlang sedangkan ia hanya ujian pencapaian.
"Kita ambil contoh, jika seseorang mengambil ujian lesen memandu. Kita ambil ujian untuk lulus, bukannya untuk lahirkan pemandu mana yang cemerlang dan tidak cemerlang.
"Tiada pula tujuan keputusan lulus memandu adalah untuk mencari calon memandu cemerlang. Sebaliknya tujuan ujian memandu adalah saringan untuk mengesan apakah kemahiran asas dalam pemanduan sehingga seseorang itu layak menerima lesen memandu," katanya.
Konsep ini katanya serupa dengan UPSR iaitu tujuan asalnya bukanlah melihat siapa yang pandai tetapi semua orang perlu melepasi penguasaan 3M sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Justeru katanya, apa yang diperlukan kini bukannya peperiksaan tetapi satu ujian saringan kemahiran 3M di peringkat sekolah rendah
Dalam hal ini Anuarr berpandangan, PBD walaupun dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memantapkan sistem pendidikan tetapi negara masih belum bersedia untuk kaedah itu.
"PBD akan berkesan apabila bilangan murid di dalam bilik darjah dan silibus dapat dikurankan.
"Keadaan ini alan membantu guru kerana mereka akan mempunyai banyak masa untuk membuat aktiviti dan menilai sama ada murid-murid sudah menguasai pelajaran atau belum," katanya.
Perlu pendekatan baharu
Pengarah, Pusat inisiatif Pemodenan Pendidikan (NICE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dr Kama Shaffeei pula berpandangan keperluan mengembalikan sistem peperiksaan bergantung kepada keperluan dan perkembangan pendidikan semasa.
Katanya berdasarkan penyelidikan UPSI dan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada 2021 terdapat satu kaedah penilaian yang lebih sesuai untuk diaplikasikan. Kaedah itu dikenali sebagai Penilaian Berasaskan Projek (PBP) mula diperkenalkan kepada murid tahap dua sekolah rendah.
"PBP adalah penilaian yang tidak terikat dengan sistem peperiksaan. Namun ia membabitkan kerjasama warga sekolah, ibu bapa serta komuniti dalam merealisasikan penilaian yang dijalankan.
"Secara tidak langsung, hasil kajian ini membantu kesinambungan pembelajaran murid dalam bilik darjah. Kesediaan murid dan pedagogi guru dititikberatkan bagi mencapai hasil pembelajaran terbaik," katanya.
Kama berkata, dalam menilai murid kaedahnya perlu berdasar kan analisis keperluan kognitif, persekitaran pembelajaran sedia ada dan kesediaan sekolah dalam menterjemah inti pati pendidikan.
Namun dalam masa sama katanya, sokongan ibu bapa dan komuniti penting bagi memastikan pihak sekolah dan KPM mencapai sasaran Dasar Pendidikan Kebangsaan tercapai.
Justeru beliau melihat UPSR dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dilihat tidak relevan buat masa kini jika tujuannya hanya untuk memastikan kesinambungan pembelajaran diteruskan.
Hal ini disebabkan generasi muda kini memerlukan pendekatan lebih terbuka dan cenderung kepada penilaian potensi individu dalam pelbagai aspek kemahiran dalam dunia global.
PBD mungkin disalah guna
Bagaimanapun, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kemuning 2, All Naazzam Ajhuree, menyuarakan pandangan berbeza.
Ali Naazzam melihat UPSR dan PT3 wajar dikembalikan bukan semata-mata melihat pada pencapaian sebaliknya penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang dipelajari mengikut tahap masing-masing.
"Pandangan saya, peperiksaan seperti UPSR amat perlu dikembalikan. Ini kerana setiap pembelajaran pada tahap apa sekalipun, apabila sampai tempohnya satu struktur ujian perlu dilaksanakan bagi memastikan murid itu faham apa yang dipelajari selama ini.
"Peperiksaan bukan untuk memalukan, tetapi sebagai kayu ukur bagi tiga pihak iaitu guru, ibu bapa dan murid itu sendiri.
"Andai kata kita melepaskan murid untuk satu peperiksaan besar sahaja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia dilihat sudah terlalu lambat," katanya.
Beliau yang menerajui PIBG SK Bukit Kemuning 2 selama lapan tahun turut berkata, sistem yang diguna pakai kini mungkin boleh mendorong kepada kepincangan dan salah guna. Hal ini disebabkan murid diteliti dan diberi markah oleh guru kelas sendiri.
"Peperiksaan sebenar adalah jawapan ditanda di kertas dan disemak oleh mereka yang tiada kepentingan.
"Tanpa peperiksaan sekarang. ada ibu bapa yang tidak memahami sistem pemarkahan.
"Kami di PIBG sentiasa merasakan ada yang tidak kena dalam proses pemilihan sebaliknya Jika UPSR atau PT3 dijalankan, ia lebih telus kerana sistem pemarkahan mewakili tahap penguasaan anak dalam sesebuah mata pelajaran," katanya,
Sumber: Berita Harian