Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi satu kenyataan media hari ini memaklumkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2022 yang dijadualkan berlangsung 28 November hingga 1 Disember depan akan dipinda pada tarikh baharu bagi subjek UPKK 02/01 Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) sahaja.
Tarikh asal bagi Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) yang dijadualkan pada 28 November dipinda ke 5 Disember depan bermula pukul 2.15 hingga 3.45 petang.
Pindaan baharu UPKK itu dibuat berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 November ini sebagai cuti peristiwa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Jakim amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan dan menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK tahun ini.
Sebelum ini, kenyataan Ketua Pengarah, Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff memaklumkan pelaksanaan UPKK di mana tarikh asal UPKK adalah pada 14 hingga 17 November lalu namun ditunda 28 November hingga 1 Disember depan. Pindaan itu dibuat bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan PRU15 ketika itu.
Hakimah berkata, tarikh baharu pelaksanaan UPKK (bertulis) bagi subjek Sirah, Jawi dan Khat adalah 29 November ini. Manakala ujian Adab Kertas 1 dan Kertas 2 pada 30 November ini serta subjek Lughah al-Quran 1 Disember depan.