Adnan - Foto Bernama |
SHAH ALAM - Inisiatif cuti khas dan bayaran gaji awal dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam terutama bagi yang pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya yakin bahawa kerajaan mampu mengumumkan dua perkara tersebut kerana ia dapat memberi kemudahan kepada rakyat untuk mengundi.
“Ini memandangkan hari mengundi adalah hari Sabtu dan pada masa yang sama pergerakan untuk penjawat awam kembali ke kawasan mengundi masing-masing telah pun melebihi masa empat jam perjalanan.
“Justeru, amat munasabah untuk kerajaan mempertimbangkan cuti khas sempena PRU15 kepada penjawat awam pada 18 November,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan cuti khas dan bayaran gaji awal sebagai inisiatif kerajaan bagi membolehkan penjawat awam pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan telah memikirkan pelbagai inisiatif bagi memberikan kemudahan kepada pengundi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya juga telah meneliti semua manifesto daripada parti politik dan menyambut baik sebarang penambahbaikan yang dibuat untuk penjawat awam.
“Cuepacs juga mencadangkan supaya pakatan-pakatan politik ini dapat melihat secara langsung cadangan-cadangan Cuepacs yang telah diutarakan sebelum ini untuk membuat penambahbaikan kepada skim perkhidmatan penjawat awam khususnya gaji minimum agar mempunyai pendapatan yang selesa.
“Pada masa yang sama, (kerajaan) juga perlu ada komitmen untuk memastikan rakyat di negara ini mampu berbelanja dengan pendapatan mereka serta mengawal harga barang.
“Bagaimana gagasan parti politik di luar sana mampu menawarkan penawaran yang terbaik dari segi keperluan rakyat khususnya kepada perumahan yang murah dan mampu dimiliki rakyat,” ujarnya.